Islam Agama Rahmat

Islam Agama Rahmat

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Orang-orang Barat yang bersikap ekstrim dan takut kepada pengaruh Islam sepakat menuduh bahawa Islam adalah agama yang mengajarkan keganasan. Mereka mengangggap bahawa ajaran Islam hanya tergambar pada amalan memotong tangan pencuri, menyebat dan merejam orang yang berzina, qisas dengan membalas bunuh orang yang telah membunuh tanpa hak, zalim terhadap wanita yang dinafikan hak-haknya, suatu ajaran kuno yang berasal dari padang pasir yang tidak relevan dengan keadaan semasa kerana banyak pantang larang yang keras dan kaku. Mengapa fenomena dan anggapan buruk ini berlaku?

Kini dikatakan muncul pula satu fenomena kelunturan akidah di kalangan generasi muda Islam kerana mereka tidak lagi percaya kepada agama. Mereka tidak menemukan rahmat di dalam ajaran agama dan akhirnya terikut-ikut dengan budaya barat yang memisahkan agama dari urusan peribadi. Betapa bahayanya apabila generasi Islam tidak mempercayai ajaran Islam lagi. Generasi yang larut dalam gelombang modernisasi terpesong yang diciptakan dunia Barat dengan hidup menurut fahaman materilisme tanpa ikatan agama.

Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi telah membahas tentang fenomena perkembangan Islam di dunia dalam kitabnya, Al-Islam Hadharatul Ghad, kitab ini telah saya terjemahkan pada tahun 1999 dan berada di pasaran dengan tajuk Tamadun Islam Alternatif Masa Depan. Dalam buku ini al-Qaradawi menyimpulkan beberapa isu tentang gambaran penafsiran Islam. Beliau menggariskan 4 golongan Islam masa kini iaitu

1. Golongan Arabis Islam.
2. Golongan Rasionalis Islam.
3. Golongan Ekstremis Islam.
4. Golongan Modernis Islam.

Apakah ciri-ciri golongan yang mengarabkan Islam? Mereka adalah golongan yang menafsirkan Islam sebagai apa-apa saja yang bercirikan arab. Mereka hanya menukarkan songkok dengan serban dan baju melayu dengan jubah tanpa melepaskan pemikiran dan fahaman jumud yang tidak selari dengan ajaran Islam. Luaran nampak beriman tetapi pemikiran, perasaan dan perbuatannya jauh sekali dari nilai-nilai wahyu. Bentuk-bentuk Islam yang mereka tampilkan adalah gambaran orang Arab dan mereka sebenarnya seolah-olah mengatakan agama ini hanya untuk orang Arab. Akhirnya orang Amerika kalau mahu memeluk Islam harus berpenampilan seperti Syeikh Arab. Agama bagi mereka hanya sebagai simbol dan upacara tertentu.

Yang kedua adalah golongan rasionalis. Mereka mengamalkan Islam dengan konsep-konsep Barat yang bersifat rasional. Bahkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak yang diputarbelitkan penafsirannya mengikut hawa nafsu mereka. Maka muncullah orang-orang yang memperjuangkan Islam liberal, Islam yang ditokok tambah sehingga yang haram boleh dihalalkan, mereka juga amat menyanjung apa-apa saja yang berasal dari fahaman barat. Mereka percaya untuk mendapat kembali kegemilangan Tamadun Islam zaman Andalusia dulu, kita mesti menadah sebanyak-banyaknya semua konsep dari Barat sebagai negara maju tanpa batasan syariat.

Yang ketiga adalah golongan Fanatisme Ekstrem, iaitu golongan yang melampau dan menafikan pandangan serta pendapat orang lain, tidak mengakui kepelbagaian ijtihad, keras dan ganas dan kasar dalam berdakwah. Ia adalah Islam yang melihat bahawa yang ada di dalamnya hanyalah hudud, tidak mengenal toleransi kepada penganut agama lain, tidak menerima dialog dengan para pemikir aliran lain, suka berselisih pendapat tentang masalah-masalah fiqah dalam ibadah dan memaksa orang lain menerima hanya pandangan mereka saja. Ia adalah Islam yang memandang rendah kepada wanita dan mengurung mereka di dalam rumah, tidak mengizinkan mereka untuk ikut serta dalam lapangan pekerjaan dan kehidupan sosial, melarang mereka memberi hak suara dan menduduki suatu jawatan.

Islam fanatik dan ekstrem adalah Islam yang meluaskan wilayah pengharaman sehingga kehidupan ini seolah-olah lebih mirip dengan sekumpulan larangan keras. Maka ungkapan yang paling kerap didengar oleh pengikut-pengikut aliran ini adalah haram dan haram.

Islam yang digambarkan dengan gambaran gelap lagi suram ini tidak mungkin berjaya dan sememangnya orang-orang yang mendokongnya sedang berjalan menuju kehancuran. Kerana kefahaman Islam mereka malampau dan tidak mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang mengajarkan bahawa agama ini adalah rahmat bagi sekalian alam.

Yang terakhir adalah golongan Islam moden yang kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Al-Qaradawi menggambarkan keadaan pengikut-pengikut aliran ini sebagai orang-orang yang kembali kepada perjuangan dakwah Rasulullah SAW dan Sunnah Khulafaur Rasyidin. Islam yang mereka bawa adalah Islam yang memudahkan bukan menyusahkan. Islam yang menjanjikan kebahagiaan bukan Islam yang membuat orang lari dan takut daripadanya. Islam yang penuh kasih sayang bukan yang keras dan melampau. Islam toleransi bukan yang fanatik buta. Islam yang fokus kepada kesatuan dan kekuatan ummah bukan pertengkaran dan perselisihan yang remeh temeh hal fikah yang tak ada hujungnya. Islam yang inovatif bukan yang status. Islam yang cerdas, moden dan pintar menguasai segenap aspek kehidupan dan mampu bersaing di gelanggang dunia.

Islam yang berdiri di atas akidah yang rohnya adalah tauhid, ibadah yang rohnya adalah ikhlas, amal yang rohnya adalah kebajikan dan syariah yang rohnya adalah persaudaraan. Islam yang menjadi tamadun paling moden, relevan dan hebat sepanjang zaman, yang ajarannya tidak pernah rapuh dan tersisih oleh fahaman baru. Islam yang tetap tinggi dan hebat jauh melebihi fahaman komunis ciptaan Karl Marx dan fahaman materialistik gaya Barat.

Tidak dinafikan kita memerlukan contoh yang ideal daripada Tamadun Barat yang telah maju. Tetapi dengan syarat ia tidak menanggalkan syariat Islam dari tubuh badan kita dan menukarkannya dengan pakaian barat. Sesungguhnya banyak sisi positif dari keunggulan tamadun barat yang boleh dicontohi, misalnya;

1. Ilmu pengetahuan dan aplikasi teknologi yang canggih. Hal ini amat diperlukan bagi umat Islam membina tamadunnya yang baru agar seiring dengan tuntunan wahyu.
2. Kemudian kita boleh mencontohi barat dalam aspek pentadbiran dan pengurusan yang cekap dan baik. Ia menjadi kemestian bagi kemajuan di segala bidang.
3. Kita juga menghormati dan memuji sikap perhatin Barat terhadap kebebasan manusia, hak asasi manusia dan jaminan perlindungan kepada pekerja-pekerja dari penindasan. Hal ini merupakan sudut positif Tamadun Barat yang mesti kita manfaatkan.

Antara aliran-aliran Islam saat ini, yang manakah satu pencetus kepada gerakan kebangkitan Islam? Yang Arabis, Rasionalis, Ekstremis atau Modenis Islam? Sesungguhnya jalan yang pernah ditempuhi oleh Baginda Rasulullah SAW dan Sunnah Khulafaur Rasyidin, para tabi’in dan dan tabi’ tabiin adalah jalan yang paling dekat kepada kegemilangan Islam. Walaupun ia memerlukan masa seribu tahun lagi untuk cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukan hak kita untuk menentukan kemenangan kepada Islam. Ia adalah hak Allah SWT. Kita hanya berusaha dan berjuang Allah pula pasti akan membalas apa-apa yang kita usahakan itu.

Sumber :- Drjuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Islam Agama Rahmat”

  1. Saya amat berharap awak teruskan menulis … idea awak memang best…

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes