Dikenang Kerana Kemuliaan Peribadi

Dikenang Kerana Kemuliaan Peribadi

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Siapakah diri kita? Apakah kedudukan kita amat penting di sisi orang-orang yang tersayang? Seorang suami sentiasa berada di sisi isteri, menemaninya mewujudkan impian membina rumahtangga yang sakinah, mawaddah, warahmah. Seorang ibu menjadi sahabat yang paling setia bagi anak-anaknya. Dia bersedia membahagi hatinya untuk dikorbankan demi kebahagiaan anak-anak. Seorang kawan karib selalu mendampingi dalam susah ataupun senang kerana kekuatan persahabatan yang dijalin bersama, tiada hasrat untuk berkhianat untuk kepentingan sendiri. Begitulah kehidupan anak Adam yang diciptakan untuk saling kenal mengenal, isi mengisi, dokong mendokong kerana mengharapkan kebahagiaan dalam perhubungan mereka.

Inilah kehidupan yang dibentangkan di hadapan manusia, mereka tidak terlepas dari ’hubungan kemanusiaan’ antara sesama. Al-Quran telah menggariskan perjalanan mereka dengan begitu lengkap agar mereka sentiasa beringat bahawa hidup ini perlu kepada pendamping-pendamping di sisi.

Menjadi seseorang yang mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain adalah amalan yang dituntut dalam syariat Islam. Ia merupakan amalan yang paling berat timbangannya di akhirat nanti, sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Tidak ada sesuatu yang paling berat dalam timbangan orang beriman pada hari kiamat selain daripada akhlak yang baik.” (Hadis riwayat: al-Tirmizi, Ahmad dan al-Bukhari)

Apabila seseorang kembali ke rahmatullah, tiada apapun yang akan dikenang kecuali dua perkara; adakah dia hamba Allah yang baik pergaulannya semasa hidupnya ataukah dia adalah seorang yang jahat perangainya. Kesan-kesan peninggalannya itu akan dinilai oleh manusia yang mengenalinya. Kita pernah berkenalan dengan ramai orang, tetapi adakah sesuatu yang istimewa dapat kita rasa daripada orang-orang yang hadir dalam hidup kita? Kebaikannya, sifat-sifatnya dan akhlaknya yang boleh membuat mata kita mengalirkan airmata apabila mengingati keistimewaannya itu. Insan yang pernah hadir memberi kebahagiaan dalam hidup kita. Kehilangannya membuat hati menjadi rindu dan semakin sayang. Betapa beruntungnya menjadi orang yang dikasihi dan sentiasa dikenang kebaikan dan jasa-jasanya.

Anas bin Malik berkata: Telah datang jenazah yang dihantar melewati para sahabat Rasulullah SAW, kemudian mereka memujinya dengan kebaikan lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ’Wajib! Tidak lama kemudian datang lagi iringan jenazah lain dan mereka mengatakan keburukan-keburukannya. Nabi SAW bersabda: ’Wajib! Umar bin Khattab RA bertanya: ”Apa yang wajib wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Jenazah yang kalian puji dengan kebaikan maka dia wajib masuk syurga. Dan yang kalian sebut kejahatannya maka dia wajib masuk neraka, kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi.” (Muttafaqun Alaih)

Manusia hidup mesti merancang agar kehidupannya berkualiti dan bahagia hingga ke akhir hayat. Namun jarang yang merancang untuk mati sebagai insan yang disayang dan dihormat. Bukan bermaksud gila kehormatan dan pujian orang lain, tetapi merancang menjadi hamba Allah yang disayangi ketika mati. Rasa sayang itu bukan dapat direka-reka, ia lahir dari hati yang paling suci pada diri manusia. Kita tak dapat menolak jika orang sayang kepada diri kita dan kita tak dapat memaksa orang untuk menyayangi kita. Ia adalah satu perasaan di luar kuasa dan kawalan manusia.

Begitulah ’rahmat’ istimewa terserlah dalam keperibadian seorang anak manusia. Hanya Allah SWT yang melimpahkan ’rahmat’ kepada diri hamba-Nya sehingga mata sesiapapun yang memandang pasti akan terkenang keunikan kita tanpa paksaan. Kekuatan kita berada pada orang-orang yang mendampingi kita. Kehadiran mereka memberi satu dimensi positif yang mempengaruhi pemikiran dan perasaan kita. Di sisi Adam AS berdiri Hawa yang setia, di sisi Rasulullah SAW hadir para sahabatnya yang agung. Di sisi raja yang mulia tegak bersama menteri-menteri yang amanah. Di sisi seorang suami ada sang isteri yang mencintai, menghormati dan memberi sokongan yang tak berbelah bagi. Kita perlukan mereka untuk menjalani hidup ini dengan gembira. Tiada yang paling berharga di dunia melainkan pendamping yang setia, para sahabat, jiran dan sanak saudara yang terbukti mahu dicintai dan ikhlas mencintai diri kita. Tetapi perlu diingat bahawa sesiapa yang tidak mencintai mustahil akan dicintai.

Sumber :- Drjuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes