Merindui Rasulullah SAW

Merindui Rasulullah SAW

Setiap kali peringatan Maulidur Rasul, tiba-tiba hati kita sayu diramas rindu kepada baginda SAW. Emosi semakin memuncak mencari-cari kenangan terindah yang telah ditinggalkannya. Kalaulah kita dapat memiliki jiwa selembut Imam Malik Rahimahullah yang terus menerus mengajarkan kalimah-kalimah peninggalan kekasihnya Muhammad SAW, beliau membacakan hadis-hadis baginda SAW kepada murid-muridnya sambil menitiskan air mata menanggung kerinduan, membela ajarannya dengan sepenuh jiwa dan raga. Kekuatan rindu itu telah mengalahkan kesakitan yang beliau deritai ketika seekor kala menyengat sebelah kaki beliau. Imam Malik Rahimahullah tidak berganjak dari majlisnya dan masih meneruskan pelajaran hadis yang sedang dibaca. Seorang anak muridnya bertanya kepada beliau mengapa tidak memberhentikan pengajian sementara beliau mengambil ubat. Imam Malik berkata: “Apakah begitu yang disebut kerinduan kepada Rasulullah SAW?”

Betapa hebatnya pengaruh hadis Rasulullah SAW kepada hati seorang mukmin. Apabila kita mendengar sebuah hadis dibacakan ataupun sekiranya kita adalah seorang yang sedang mengajarkan hadis, pernahkah kita merasai bahawa keadaan ini adalah sedekat-dekatnya kita kepada baginda SAW?

Alangkah bahagianya jika kita juga memiliki jiwa seperti Muaz bin Jabal RA. Jiwa beliau amat dekat dan rapat dengan Rasulullah SAW. Beliau memiliki kulit yang sentiasa bersentuhan dengan kulit Rasulullah SAW, tangan beliau pernah dipimpin oleh Baginda SAW, wajah beliau ditumpahi kasih dan sayang seorang Nabi SAW. Saat beliau diutus ke negeri Yaman sebagai pendakwah yang mengajarkan agama Islam di sana, Baginda Rasulullah SAW mengusap air matanya sambil bersabda yang bermaksud: ”Mengapa engkau menangis wahai Muaz? Jawab Muaz: Hamba sedih berpisah denganmu wahai Rasulullah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan sedih wahai Muaz, sesungguhnya kesedihan itu sebahagian daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Iringilah keburukan itu dengan kebaikan nescaya keburukan itu dihapus oleh kebaikan dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Betapa beruntungnya memiliki ketaatan kepada Rasulullah SAW sepertimana taatnya sahabat, Hakim bin Hizam. Beliau adalah seorang yang baru memeluk Islam, hidup pada zaman Islam telah memperoleh kekayaan yang melimpah kerana ghanimah yang didapat dalam peperangan. Suatu hari selepas perang Hunain, Hakim menghadap Rasulullah SAW untuk meminta harta rampasan perang. Dia berkata: ”Wahai Rasulullah berilah aku sesuatu!” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apakah kamu melihat seluruh kambing yang berada di lembah itu? Sesungguhnya itu semua adalah milik kamu. Kemudian dia datang lagi dan meminta kepada baginda untuk kali kedua. Rasulullah SAW telah memberinya 100 ekor unta. Hingga kali ketiga dia datang dan meminta. Rasulullah SAW juga memberinya 100 ekor unta lagi. Tak puas dengan itu semua Hakim mencuba meminta kepada Baginda SAW sekali lagi. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini umpama rerumputan yang hijau, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.” Hakim berasa malu dan berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, demi Allah aku tidak akan meminta lagi kepada sesiapapun selepas ini dan aku tidak akan menerima pemberian sesiapa lagi.”

Janji dan ketaatan Hakim kepada Rasul SAW tetap digenggam hingga ke akhir hayatnya. Beliau tidak pernah meminta dan tidak mahu menerima pemberian orang selepas kejadian itu. Begitulah kehebatan didikan sang Rasul yang hanya meninggalkan ilmu dan agama ini kepada umatnya. Walaupun harta dan dunia berada di tangannya, musuh-musuh menyerah diri di bawah kekuasaannya. Namun begitu Baginda makan di atas tanah bersama para hamba. Menangis pada malam yang gelap ketika mendengar seorang wanita tua membaca ayat tentang hari kiamat. Baginda amat menyukai sujud, meletakkan wajah di atas tanah kerana mahukan Allah Taala sentiasa berada dekat bersamanya.

Hati siapa tak terbius oleh sirahnya yang harum, mengingati keistimewaan peribadi seorang insan yang bernama Muhammad SAW. Tak kira hati itu milik siapa, mukmin atau munafikin bahkan kafir laknatullah juga tersentuh oleh keagungan Baginda SAW. Goldzhiher, seorang orientalis terkenal menyatakan: “Tidaklah menghairankan jika Muhammad menjadi seorang Nabi, kerana Isa dan Musa juga Nabi. Sesungguhnya yang menghairankan adalah beliau menetap selama 40 tahun di Mekah tanpa belajar sama sekali di sekolah atau berguru dengan seorang guru. Kemudian setelah 40 tahun, beliau tiba-tiba berubah menjadi seorang pemberi fatwa terhebat, pensyarah ternama di mimbarnya, orang yang paling petah bercakap, pemimpin serta pendidik teragung di dunia ini. Inilah yang paling menghairankan tentang Muhammad.”

Ketika ini, masih adakah kebanggaan yang tersisa sebagai umat Muhammad SAW? Jika anak-anak kita malu berimejkan Islam dan belajar sembahyang? Jika agama ini dipisahkan daripada kehidupan dunia. Kita semakin asyik melayan kehendak diri tanpa menimbang inikah jalan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW? Sementara orang yang mengaku kuat beragama pula tertipu oleh ilmunya dan menjauhkan diri daripada perjuangan sebenar membela Islam. Cukupkah cinta ini tanpa berbuat sesuatu yang membuktikan ia adalah cinta sebenar? Betapa pentingnya pembuktian kerana cinta ini bukan khayalan semata.

Abu Musa al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: Bagaimana jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya di akhirat.

Wahai Rasulullah layakkah hamba berdampingan denganmu? Soalan sebegini sepatutnya sering berlegar-legar di ruang minda kita setiap masa. Jangan ditunggu sekali setahun untuk menyatakan kasih kepada Baginda SAW. Takut terlepas pula sayang Rasul SAW kepada kita.

Sungguh beruntung Sawwad bin Ghazwah yang ketika nyawanya hendak berlepas dari badan saat peperangan Badar, Rasulullah SAW datang memeluk tubuhnya. Sungguh tiada kenikmatan yang melebihi nikmatnya bersentuhan dengan Rasulullah SAW. Tiada ubat penawar yang dapat menyembuhkan selain usapan tangan Baginda SAW ke atas luka-luka yang menganga. Rasulullah SAW memujuk: Mengapa kamu menangis wahai Sawwad? Tiada kalimah lain yang paling bermakna untuk menyatakan cinta sejati kepada Muhammad SAW selain jawapan: “Wahai Rasulullah, telah datang apa yang engkau lihat , kerana itu aku ingin menyentuh kulitmu dengan kulitku sebagai akhir perjanjian denganmu.” Sebuah janji kepada Rasulullah SAW untuk sehidup dan semati tetap mencintai. Alangkah bahagianya hidup ini seandainya kita memiliki impian seperti seorang yang bernama Sawwad.

Sumber :- DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Merindui Rasulullah SAW”

  1. klcitizen says:

    sangat menyentuh hati … saya mendoakan agar saya punya hati seperti sahabat2 Nabi itu.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes