Jalan Untuk Mengenal Allah

Jalan Untuk Mengenal Allah

Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis)

Jalan-jalan untuk mengenal Allah telah dilalui oleh para Nabi dan Rasul, orang-orang saleh yang ikhlas ikut serta menjejaki. Matlamat mereka satu menjadi hamba-Nya yang dikasihi. Zaman berganti, beberapa kurun telah berlalu siapakah yang telah sampai ke matlamat yang dituju? Setiap muslim pasti mempunyai pengalaman yang sungguh bermakna ketika belajar mengenal Allah. Bagaimana pengalaman anda ketika memandang kabah yang agung? Pasti hati anda terlalu rindu berjauhan dari-Nya. Ada yang berasa amat dekat kepada-Nya ketika sakit, menangis dan terharu kerana memerlukan pertolongan-Nya menyembuhkan penyakit yang diderita. Ada yang mencari kuasa-Nya ketika kerugian harta benda atau kehilangan jiwa. Kita mencari Allah kerana beriman kepada sifat-Nya yang Maha berkuasa lagi Maha Mengasihani. Apabila dilimpah nikmat bertambah lagi hati anda terpaut pada-Nya. Sesungguhnya orang yang beriman akan semakin mengenali Allah SWT dengan berpandukan ilmunya. Belajar mengenali Allah adalah proses panjang demi mendapatkan iman yang kukuh.

Jalan-jalan mengenal Allah

1. Kenali diri sendiri.
Untuk mengenal diri sendiri tidak perlu anda terkenal dikhalayak ramai. Kadang-kadang orang yang terkenal itu ada yang tak sedar diri kerana merasa dia saja yang sempurna, berbahagialah dengan keadaan anda sekarang, walaupun orang tak perasan tentang kewujudan anda tapi pastikan Allah SWT cukup kenal dan mesra di dalam hati anda.
Proses mengenal diri sendiri bermula dari orang yang terdekat dengan kita, isteri atau suami yang merupakan belahan jiwa anda adalah orang yang paling tepat dimintakan komen yang bernas. Kemudian sahabat-sahabat serta saudara mara yang ikhlas, walaupun tidak secara langsung kita bertanya tentang kelemahan diri sendiri kepada mereka, minima kita faham sindiran dan teguran yang berlapik gaya orang timur. Kalau adik kakak bercerita tentang kegembiraan pergi menunaikan haji maknanya mereka mahu kita bersedia ke sana. Atau sahabat kita bercerita tentang pengalaman perniagaannya yang untung berjuta, jangan kecil hati membandingkan diri kita dengannya tapi cubalah ambil hikmah di sebalik itu bahawa persepsi anda tentang kerja mesti diubah. Merujuk kepada peribadi saidina Umar al-Khattab, tanpa segan silu beliau bertanya kepada saidina Huzaifah yang memegang kunci rahsia Rasulullah SAW tentang siapa nama-nama golongan orang munafik. ”Adakah dalam diriku sifat-sifat orang munafik?”
Pernah juga beliau bertanya bagaimana seharusnya sikap orang beriman menghadapi hidup yang penuh cabaran ini. Dijawab oleh saidina Ubay bin Ka’ab: ”Berhati-hati, seolah-olah kamu melintasi jalan yang penuh duri.”
Cara untuk mengenali diri juga dengan bersungguh-sungguh mengurus diri sendiri, jangan peduli dengan aib orang lain. Imam Al-Syafi’i memberi petua hebat, jalan yang selamat iaitu:

1. Suka menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk.
2. Mengingati akhirat ketika menikmati dunia.
3. Suka mengingati kematian di saat mencintai kehidupan.
4. Menghindari menyebut kebaikan diri dan keluarga.
5. Benci menceritakan keaiban dan cela orang lain kecuali yang dihalalkan.

2. Kenal Allah dengan cara bersandar pada-Nya ketika melakukan sesuatu perbuatan.
Seperti syair yang menyatakan: ”Kuatkan cinta dengan sandarkannya pada kenangan manis.” Jika kita seorang hamba yang mencari jalan menuju Allah, setiap hari mesti menjadi kenangan manis tentang cerita perhubungan kita dengan Allah Taala. Seorang beriman sentiasa terkenang kebaikan Tuhannya, rahmat dan perlindungan-Nya. Apabila anda menatap wajah kasih seorang isteri, rasa syukur pada Allah kerana mempertemukan anda dengannya. Selalu mengingati jasa-jasa Allah Taala ketika anda menyambut kepulangan suami dan anak-anak selamat sampai di rumah, tiada kemalangan dan musibah berlaku kerana rahmat dan perlindungan Allah Taala. Begitulah mata seorang yang beriman sentiasa melihat sesuatu dengan bersandarkan kepada kuasa Allah Taala. Demikian juga dengan tangan dan kakinya, telinga dan lidahnya sentiasa mengingati Allah Taala ketika melakukan sesuatu perbuatan. Sepertimana hadis Rasulullah SAW menghuraikan maksud bersandar pada kuasa Allah:
”Apabila Aku telah mencintainya, Aku menjadi penglihatan yang ia melihat dengannya, Aku menjadi tangannya yang ia memukul dengannya dan Aku menjadi kakinya yang ia berjalan dengannya.” Hadis riwayat Imam Bukhari.
Makna yang tersirat di dalam hadis ini adalah kita yang mengaku diri beriman ini seharusnya sentiasa mengingati Allah ketika melakukan sesuatu, memikirkan sesuatu atau merasai sesuatu. Sandarkannya pada Allah Taala. Jika diuji, hati memujuk supaya reda dengan takdir-Nya. Jika diberi nikmat, hati mengingati jangan terlalu gembira kerana nikmat itu hanya pinjaman Allah Taala.

Sumber : DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Jalan Untuk Mengenal Allah”

  1. azlan says:

    mengenal allah dan apa maksud alif,lam,lam,ha.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes