Punca Rapuhnya nilai ibadah

Punca Rapuhnya nilai ibadah

Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis )

Setiap hari kita melakukan aktiviti yang menjadi rutin harian dengan matlamat tertentu. Kadang-kadang kita lupa di sebalik matlamat yang kita tetapkan ada sesuatu yang terlepas dari pemikiran kita. Iaitu kesedaran bahawa segala perbuatan kita hari ini ditulis sebagai ibadah jika ia menepati kehendak Allah Taala. Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata di dalam risalahnya tentang al-‘Ubudiyyah: “Ibadah ialah statu kata nama yang merangkumi semua yang disukai Allah dan diredai-Nya; Sama ada percakapan atau perbuatan, zahir mahupun batin. Seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, amanah, berbuat baik kepada kedua orang tua, menghubung silaturahim, menunai janji, menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar, berjihad, berbaik-baik dengan jiran, orang miskin dan musafir, membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan lain-lain lagi yang seumpamanya.”

Maknanya ibadah itu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Dari yang serendah-rendahnya seperti beradab dalam makan dan minum sehingga yang sebesar-besarnya seperti membina negara, mengurus politik pemerintahan, ekonomi, teknologi hingga urusan keselamatan negara. Agama ini bukan milik orang-orang yang berjubah dan berserban sahaja tetapi juga milik politikus yang amanah, saintis dan pakar ekonomi yang pintar, yang juga boleh menjadi pengabdi Tuhan yang tak kalah hebatnya.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa Abu Hurairah RA yang banyak meriwayatkan hadis-hadis baginda Rasulullah SAW melebihi sahabat terdekat baginda SAW seperti Abu Bakar RA dan Umar al-Khattab RA, tidak diletakkan sebagai sahabat paling utama berbanding keduanya? Sejarah mencatatkan bahawa kedua sahabat utama ini aktif dan sibuk menguruskan hal-ehwal umat sehingga tertinggal di belakang daripada Abu Hurairah RA dalam periwayatan hadis. Abu Hurairah RA sememangnya menjadi orang yang sentiasa berada di sisi Nabi SAW dan aktif menghafal hadis-hadis baginda. Namun demikian baginda tetap meletakkan kedua-dua sahabat yang paling dikasihi itu sebagai orang yang amat istimewa di hati baginda SAW kerana sumbangan keduanya dalam pengurusan umat menjadi merit besar dalam penentuan kedudukan keagamaan mereka.

Amat merbahaya jika kita beranggapan bahawa Islam yang baik itu mesti melepak di masjid sepanjang masa dan meninggalkan urusan mencari nafkah demi membangun umat. Ibadah dalam Islam terlalu luas dan menjadi hak milik semua golongan, tak kira hamba sahaya atau orang kaya, tua dan muda, yang lahir di barat atau di timar, semuanya berhak dinilai di sisi Allah SWT sebagai ahli Ibadah. Kadang kala manusia menilai sesuatu daripada luaran sahaja, yang bersongkok kononnya lebih alim padahal yang memakai kot lebih luas pemahaman Islamnya kerana aktif melayari laman web Islam di Internet. Boleh jadi mereka ini lebih berpandangan terbuka dan mahu berfikir dibandingkan orang-orang yang hanya mengamalkan Islam secara ikut-ikutan tanpa dalil, taklid membabi buta dan secara berbahaya serta mengabaikan usaha pencarian ilmu secara mendalam.

Agama ini milik semua, yang berhak menilai siapa yang terbaik ibadahnya hanya Allah Taala sahaja. Mengapa kita perlu mengingati diri kita supaya tetap berada dalam zon ibadah kepada Allah SWT? Kerana ramai yang mengasingkan ibadah dalam kehidupan, mereka mengkotak-kotakkan tempat, waktu dan suasana ibadah menurut fahaman liberal mereka. Mereka yang menganut prinsip ini dengan selambanya boleh meneguk arak ada malam ini dan bertahlil esok malam. Atau pergi haji empat puluh hari dan kemudian lupakan Allah sepanjang tahun. Betapa sempitnya ruang pemikiran mereka tentang agama. Mereka merasa layak dipanggil muslim hanya dengan cukup melakukan ibadah pada momen-momen besar seperti perayaan-perayaan yang bersifat formaliti belaka. Maka akhirnya agama itu menjadi barang mainan dan sendaan. Tiada roh syariat mengalir dalam darah daging mereka. Agama tidak dijadikan penggerak dalam membuat keputusan. Agama cuma diamal jika boleh mendatangkan keuntungan. Mereka memakai pakaian mengikut aturan Islam ketika majlis akad nikah di masjid kerana begitulah pakaian untuk ke masjid sedangkan di luar sana bebas lepas semahunya. Mereka mengenal al-Quran ketika ada saudara-mara yang meninggal dunia sahaja sedangkan al-Quran dinuzulkan sebagai perintah dan arahan untuk orang yang hidup, bukan untuk yang telah mati dan tiada taklif. Mereka bersedekah sebagai alat mengumpulkan sokongan dan pujian sedangkan sedekah adalah bukti benarnya iman kepada Allah SWT, bukannya harapan pujian manusia sementara. Dan pelbagai lagi perbuatan seumpamanya yang amat berbahaya kepada imej dan pengamalan sejati Islam. Akibat sikap berbahaya ini, agama bagi mereka bagaikan mayat yang dihias dengan secantik-cantik perhiasan, namun tetaplah ia tiada serinya. Tiada roh Islam yang mengalir di dalam tubuhnya! Apakah wajah Islam sebegini yang mahu digayakan umat hari ini? Kalau demikian, sudah pasti rahmat Allah SWT akan menjauh daripada mereka.

Fenomena sempitnya ibadah dalam pemikiran umat adalah disebabkan oleh faktor yang amat mendasar yang tidak digarap dengan sempurna. Iaitu asas akidah telah dilangkau bahkan dibuang ke tepi semata-mata mahu menanamkan ibadah yang kering semata-mata dalam kehidupan. Sungguh merbahaya jika melaksanakan ibadah tanpa memahami akidah yang sahih. Persoalan mengapa kita mesti beribadah tidak terjawab, kerana aspek keimanan kepada Allah SWT dan Rasul juga masih terlalu susah dicerna oleh pemikiran umat yang sememangnya cetek ilmu. Mereka belum memahami bahawa iman itu menuntut ketundukan dan ketaatan. Sepertimana kata Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah: ”Sesiapa yang tunduk kepada seorang manusia padahal dia membencinya (tunduk dalam keadaan terpaksa), dia tidak dianggap menjadi hamba kepada orang itu. Begitu juga jikalau dia suka kepada seorang manusia tetapi dia pun tidak mahu tunduk kepadanya maka dia bukanlah hamba kepadanya juga.”

Untuk beribadah kita perlukan jiwa hamba yang sedia mencintai Allah SWT, taat dan setia dan menyokong syariat-Nya tanpa memilih yang lain. Aspek akidah sebegini belum betul-betul terpacak dalam peribadi umat. Begitu pula halnya dengan keimanan kepada Rasulullah SAW. Tak hairan bila ditanya; ”Kenapa kamu melakukan sembahyang dengan cara dan kaedah yang begitu”, jawapan mudahnya ialah; ”Saya ikut cara orang ramai sembahyang, kalau saya salah maka ramai lagi yang lain salah!”. Hakikatnya ramai yang tak tahu bagaimana cara sembahyang Rasulullah SAW, apa dalil dan sandaran baginda melakukan sembahyang sebegitu. Biasanya manusia jahil hanya akan beralasan; ”Emak aku ajar begini, buat saja lah! Tak payah nak susah-susah menuntut ilmu.” Padahal ibadah yang diterima Allah SWT menurut kesepakatan para ulama mestilah memenuhi dua syarat, iaitu ikhlas kepada Allah dan betul caranya menurut ajaran Rasulullah SAW. Betapa pentingnya ilmu dicari kerana tingkat kecintaan hamba kepada Allah SWT dan Rasul-Nya adalah berdasarkan ilmunya tentang Allah dan Rasul. Bukan cuma ikut-ikutan saja.

Jika ibadah dilaksanakan kerana dorongan akidah yang kuat maka ibadah itu akan mampu melahirkan peribadi yang sempurna. Sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Nur ayat 51 yang bermaksud: ”Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diseru kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya ialah supaya mereka menetapkan Rasul menjadi Hakim yang memutuskan hukum di antara mereka. Mereka hanya berkata: Kami dengar dan kami taat. Dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

Alangkah rapuhnya nilai ibadah di dalam diri hamba yang tidak memahami akidah yang sahih. Dia beribadah tetapi bersamaan dengan itu dia juga menolak hukum Allah, dia beribadah tetapi sekaligus dia menghina sunnah Rasulullah SAW. Ibadah tidak lebih sekadar aksesori pelengkap untuk mempercantik penampilan, sedangkan jiwanya sudah mati tanpa disedari, kosong tanpa berpenghuni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes