Isteri rampas kebebasan suami bersosial
Beban kerja yang menghantui suami dan isteri sedikit sebanyak boleh mengganggu ‘kehangatan’ mereka di rumah. Angin tak selamanya bertiup lembut, sesekali ada juga masanya badai menghentam rumahtangga. Eloklah jika anda dan pasangan bersedia menghadapi saat-saat perit dengan lebih bijak. Ya, bijak mengurus emosi sendiri sebelum menghadapi pasangan. Kadang-kadang suami buat hal ketika isteri mengalami emosi yang tak stabil. Misalnya suami syok sendiri melayan kawan-kawan hingga lupa isteri yang kepenatan dan tertekan di rumah.
Bayangkanlah keadaan isteri yang terlalu sibuk dengan kerjaya sambil menjaga anak, menjadi chef sepenuh masa, pemandu yang tak jera dianiaya kesesakan jalan raya, menjadi cikgu dan warden 24 jam bagi anak-anak, tak kenal erti sakit dan penat demi keluarga yang dikasihi tetapi malangnya si suami habis kerja tak sempat pulang ke rumah sedap-sedap berparti dengan kawan-kawan di kafe-kafe, lubuk pancing, padang bola, atau lebih teruk di kelab-kelab malam. Bila dah habis duit nanti barulah rajin pulang ke rumah meminta tajaan daripada isteri. mengikis harta isteri dengan pujuk rayunya. Saat datang bulan gaji, dia kembali lupa jalan pulang ke rumah, sibuk dengan aktiviti yang digilai bersama kawan-kawan. Anehnya untuk isteri dan anak tak ada masa tapi untuk kesenangan sendiri sentiasa banyak masa.
Apakah punca sehingga suami tak sanggup duduk di rumah? Mengapa tarikan kawan-kawan lebih kuat berbanding isteri dan anak? Apakah puncanya daripada sikap suami sendiri yang tidak bertanggungjawab atau mungkin ada sebab lain yang membosankan suami?
Pelbagai macam cara sudah anda cuba untuk mengalahkan kedegilan suami tapi tak berjaya? Tak mengapa kalau anda mengkaji balik di manakah silap anda dahulu sebelum menyalahkan pasangan, mudah-mudahan kejujuran anda mengakuinya membuka jalan untuk anda memperbaiki apa yang sudah mulai rosak.
Ikat hati dengan sabar
Mungkin suatu ketika dulu suami tidaklah seteruk sekarang, tetapi disebabkan anda tidak menghiraukannya, membuat suami menjadi semakin parah. Mungkin anda cuba menghibur hati yang kecewa dengan keluhan sebegini: “Biarkanlah dia dengan perangainya, letih dah saya menasihat, menyindir, mengancam bahkan memarahi tak juga serik-serik keluar rumah semahu dia, langsung tak peka perasaan isteri, asalkan dia tak main perempuan lain, kira oklah.”
Seharusnya anda tetap dalam keadaan berwaspada, mungkin suami tak sampai terlibat dengan perbuatan keji tetapi bukankah pergaulan boleh merubah perangai manusia? Jangan menggelabah dulu, fikirkanlah langkah-langkah yang terbaik untuk memulakan ‘fasa pemulihan’ emosi anda dan suami.
Semuanya bermula dari hati, jika hati anda ikhlas mencintainya anda tidak akan membiarkannya terperangkap dalam dunianya sendiri. Anda mesti bertindak sebelum terlambat.
Selain ikhlas anda juga mesti berusaha mengikat hati dengan sabar yang tak ada batasnya, bukankah dunia adalah tempat ujian, hanya di syurga saja manusia boleh hidup tenang tanpa sebarang kesedihan, duka dan kesakitan. Jadi, jangan putus asa, sedih dan sakit hati, anggaplah ia asam garam perkahwinan yang semua orang mesti lalui. Anda tidak bersendirian, ramai lagi wanita di luar sana yang mengalaminya tetapi mereka tetap tegar dan berhasil melaluinya dengan tabah. Mengapa anda tidak?
Bentangkan permaidani yang selesa
Jangan berhenti berusaha menarik hati suami supaya dia berasa seronok bersama anda. Binalah zon yang selesa di antara anda dan dirinya, jangan terlalu mengongkong, bahkan anda dinasihatkan untuk mengenali kawan-kawannya dan mengambil berat tentang aktivitinya. Sesibuk manapun anda, jangan sesekali biarkan liputan komunikasi anda terputus, raikan dan sambutlah suami setiap kali bertemu, jika dia mahu keluar rumah tinggalkanlah kesan istimewa di hatinya agar hatinya segera balik. Sentuh dan senangkan hatinya supaya dia mahu cepat-cepat balik.
Kedegilan suami yang tak pedulikan leteran isteri memang membuat anda kecewa, tapi sudahkan anda menyatakan apa yang anda tak suka kepadanya? Kadang-kadang suami silap faham atau mungkin tak faham apa yang kita tak suka. Anda dinasihatkan untuk berterus terang, cakap secara jelas dan senaraikan apa yang anda tak suka. Dengarkan juga isi hatinya yang mahu membela diri atau menjelaskan kepada anda tentang perkara sebenar. Bersikap adillah untuk memberi sedikit ruang kepada suami bergaul dengan kawan-kawannya. Bermuafakatlah tentang hak dan kebebasan masing-masing, berapa lama anda dan dia boleh keluar rumah. Mintalah suami menghormati perasaan anda sebagaimana anda menghormatinya.
Fahami jiwa lelaki
Wanita jelas berbeza dengan lelaki, perbezaan itulah yang memungkinkan mereka hidup bersama untuk saling melengkapi. Nikmati saja hidup ini dengan mudah, jangan susahkan hati memikirkan sangka buruk anda dan rasa curiga itu. Jiwa lelaki tertarik kepada rangsangan di sekelilingnya, dengan itu dia merasa puas. Tugas anda sebagai isteri adalah menyediakan rangsangan itu. Jika dia lebih tertarik dengan rangsangan di luar rumah, agaknya anda mesti berusaha lebih hebat mencuri titik kepuasannya. Jangan abaikan juga kepuasan anda sendiri dan jadikanlah suami sebagai objek paling merangsang diri anda.


October 13th, 2011
admin 
Posted in
Tags: