SIRI WANITA ISLAM YANG ANGGUN
“ NUR ‘ALA NUR ”
Oleh : Dr Juanda Bin Jaya
Kembali Kepada Fitrah Wanita
Hak asasi wanita kembali menjadi tajuk hangat yang kerap diperkatakan di kaca televisyen dan media akhir-akhir ini. Isu yang tetap hangat dan tak pernah surut dari polemik masyarakat kita. Lebih-lebih lagi dengan timbulnya kes penangkapan wanita yang dipermalukan dengan aksi ketuk ketampi dan lain-lain kes yang melibatkan penderaan hak asasi wanita. Kes poligami, tuntutan nafkah, hadanah dan harta sepencarian sering menjadi agenda yang yang mesti dihadapi wanita yang terlibat. Demikian juga dengan kes rogol, gangguan seksual di pejabat, kena tangkap khalwat, hingga susahnya mencari jodoh bagi wanita profesional menimbulkan kesedaran di benak kita betapa pentingnya eksistensi wanita dikaji demi keadilan yang menjadi ciri utama agama Islam.
Jika saya ditanya sebagai lelaki bagaimana anda menilai wanita? Jawapan saya adalah semua wanita di dunia ini adalah saya pandang selayaknya sebagai seorang ibu, isteri, saudara perempuan dan anak perempuan saya. Kalau begitu jawapan semua lelaki di dunia ini maka aman bahagialah kehidupan para wanita. Begitulah yang pernah Rasulullah SAW nasihatkan kepada seorang pemuda yang berhasrat ingin berzina dan meminta izin kepada Baginda untuk berzina! Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu rela jika ibumu atau saudara perempuanmu dijadikan mangsa zina?” Tentu saja sang pemuda itu terus membatalkan niat kejinya. Di dalam Al-Quran proses pembelaan terhadap ‘Aisyah RA ketika difitnah dengan seorang lelaki, dan kes Zainab binti Jahsy yang meminta diceraikan daripada Zaid bin Harithah, begitu juga kes ‘zihar’ Khaulah binti Tsa’labah menjadi bukti bahawa agama Allah yang bercirikan keadilan mampu menunjukkan betapa wanita amat diagung dan dimuliakan.
Bahkan kedudukan mereka yang dahulunya hanya dijadikan alat pelengkap keperluan lelaki berubah menjadi sosok penting yang amat berpengaruh terhadap setiap keputusan dan pandangan dalam masyarakat. Kehormatan yang Islam anugerahkan kepada wanita tercatat dalam bingkai sejarah yang gemilang, di situ terserlah ketokohan dan kewibawaan mereka berdiri bersama dengan kaum lelaki dan mengambil peranan yang penting dalam masyarakat. Khadijah RA wanita terkaya dan terpandang di tengah kaumnya kerana kepintaran dan kejujurannya dalam bidang perniagaan, Aisyah RA adalah guru kepada para alim ulama di kalangan sahabat-sahabat utama yang berkhidmat untuk kegemilangan ilmu yang telah melahirkan ilmuwan-ilmuwan yang menyebarkan ilmu Allah ke serata dunia. Zubaidah isteri Harun al-Rasyid yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikannya untuk umat dengan pembinaan ‘Ain Zubaidah. Siapakah dari kalangan lelaki Muslim yang masih memandang wanita dengan sebelah mata, bahkan ada yang tergamak merampas hak-hak mereka?
Sesungguhnya hukum hakam yang membabitkan wanita dalam Islam sama sekali tidak mendiskreditkan wanita. Bahkan keadilan yang diberikan oleh Allah SWT untuk wanita kadang-kadang membuat lelaki salah faham dalam menginterpretasikannya. Demikian juga sebaliknya dengan wanita yang menganggap hukum Islam itu zalim terhadap mereka. Keadaan seperti ini menimbulkan keruncingan perhubungan antara keduanya sehingga timbullah isu emansipasi wanita di seluruh dunia. Padahal Islam adalah agama sempurna, tetapi disebabkan para penganutnya yang jahil dan tidak mengamalkan hukum-hakamnya dengan betul maka imej Islam tercemar dengan isu-isu tersebut.
Lelaki dan wanita dicipta dengan Rahmat Allah.
Sikap hendak menunjuk kuat dan berkuasa pada diri lelaki dan pemberontakan yang dilakukan dengan kelembutan kaum perempuan tidak akan ada penghujungnya. Perbezaan pemikiran dan emosi hendaklah tidak menjadi punca persengketaan yang akhirnya menjejaskan peranan kedua-duanya dalam masyarakat. Bolehkah anda hidup tanpa lelaki? Atau bolehkan anda hidup tanpa perempuan? Siapa emak bapa kita? Mengapa Allah jadikan lelaki dan di sisinya ada perempuan? Rahmat Allahlah yang menyatukannya supaya manusia ingat bahawa mereka dihidupkan untuk semata-mata beribadat kepada Allah. Tidak timbul persoalan siapa yang di atas dan di bawah, kerana Adam dan Hawa sama-sama berada dalam syurga dan sama-sama dikeluarkan darinya. Dan tidak timbul siapa yang paling hebat iman dan pengorbanannya, kerana di sisi Nabi Ibrahim ada Siti Hajar yang perkasa. Lakaran kemuliaan lelaki dan wanita yang sama rata menjadi sejarah dalam ayat-ayat Allah SWT: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan telah kami menciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang lebih takwanya.” (Surah Al-Hujurat: Ayat 13)
Pembebasan Wanita Masa Kini
Isu pembebasan wanita telah lama timbul iaitu sekitar 150 tahun yang lalu ketika ajaran gereja di Eropah berlaku tidak adil dan menindas kaum wanita. Isu ini berasal daripada hujah-hujah sosialisme yang menentang agama. Yang anehnya tuduhan-tuduhan yang pada awalnya dilemparkan untuk menentang penyelewengan gereja telah ditempelkan pula kepada ajaran Islam dan ulamanya. Akhirnya wanita-wanita Islam berhasil dipengaruhi oleh pemikiran yang salah tentang eksistensinya sendiri. Bahkan suatu ketika dahulu pada abad ke-19, orang Perancis mengalu-alukan gerakan pembebasan wanita Turki dengan terciptanya cogan kata: “Open the women, close the Koran.’ (Bebaskan wanita dan tutupkan Al-Quran) Begitu bahayanya gerakan ini kerana mereka berusaha membebaskan wanita dari agamanya dan meracuni pemikiran wanita Islam supaya tidak lagi mempercayai Al-Quran.
Kepada para Muslimah janganlah berhenti melengkapkan diri anda dengan ilmu Islam kerana proses belajar dan mengkaji amatlah penting untuk menghasilkan pemikiran yang bersih dan sahih. Sesungguhnya agama Allah ini tidak cacat dan yang kurang hanyalah keterbatasan kita sebagai makhluk-Nya yang menimbulkan salah faham. Kekuatan wanita Islam terletak pada halusnya perasaan yang disaluti oleh Nur iman. Itulah yang membezakan anda dengan wanita lain. Nur di atas Nur! Andalah cahaya yang hidup dengan kemulian dan keagungan yang dianugerahkan oleh Islam.


July 11th, 2011
admin
Posted in
Tags: