Kenikmatan Syurga

Kenikmatan Syurga

Setiap orang semestinya mempunyai impian. Berangan-angan memiliki apa-apa yang disukai, pergi makan angin ke tempat-tempat percutian di seluruh dunia, menikmati pemandangan yang indah, gunung dan lembah yang menghijau, kebun dan taman yang menyejukkan, pantai yang mendamaikan perasaan, semua serba indah dan memukau. Kenikmatan itu bertambah sempurna dengan kehadiran seorang isteri yang cantik dan anak-anak yang comel, rumah yang besar dengan kereta yang mewah dan bergaya. Duit dan harta yang tak habis, tak takut miskin dan jatuh muflis, tidak sakit atau resah di hati. Semuanya serba lengkap dan sempurna. Mungkinkah impian itu tercapai di dunia ini? Apakah ada lagi yang lebih hebat daripada itu semua?

Percayalah bahawa sebenarnya dunia adalah tempat segala kekurangan. Jika anda kaya tak semestinya anda bahagia. Yang ramai anak belum tentu lebih bahagia dari yang tiada anak. Beristeri cantik bukan jaminan hati boleh senang, mungkin lebih membuat anda resah dan gelisah. Sesungguhnya dunia tidak sempurna dan siapakah agaknya di dunia ini yang terlepas dari musibah dan ujian? Semua insan mesti merasai sakit, susah, putus asa dan gagal. Di manakah kita boleh terlepas dari ketidaksempurnaan ini? Tempat itu ialah di syurga Allah, destinasi yang pelik tapi benar! Yang tak pernah ada seorangpun melihatnya kerana terlalu cantik dan tiada telinga yang pernah mendengarnya kerana banyak rahasia kehebatannya dan tiada pernah hati merasa kerana tempat ini terlalu ajaib. Tidak dapat dibandingkan dengan dunia yang murah dan tak bernilai. Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah berjalan bersama para sahabatnya, mereka melihat bangkai seekor kambing yang dikerumuni lalat kerana bau yang busuk. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ”Dunia tak ubahnya seperti bangkai ini di sisi Allah.”

Bolehkah kita bandingkan kenikmatan dunia dengan kesempurnaan syurga Allah? Jauh sekali penilaiannya. Terlalu singkat akal orang yang mahukan hidup di dunia sepuas-puasnya kerana ia tidak akan pernah puas di atas tempat yang penuh dengan kekurangan ini. Orang yang bijaksana tidak akan tertipu dengan kenikmatan dunia yang bagaikan fatamorgana. Kalaupun ada ia sangat singkat dan bagaikan pukauan saja. Carilah bahagia yang kekal abadi. Nikmat yang tertinggi. Kelazatan yang tak ternilai. Sepertimana hadis-hadis Rasulullah SAW menceritakannya: ”Ada batu bata dari emas, ada batu bata dari perak, catnya minyak kasturi yang harum, kerikilnya mutiara dan yaqut, dan pasirnya safran. Siapa yang memasukinya akan merasai nikmat, tidak bersedih hati, kekal dan tidak mati, bajunya tidak basah dan keremajaannya tidak sirna.” Hadis Riwayat Imam al-Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, al-Darimi dan Ibnul Mubarak.

Sabdanya lagi: ”Golongan yang pertama kali masuk syurga bagaikan rembulan pada malam purnama, yang berikutnya bagaikan bintang berkilauan yang cahayanya paling terang. Mereka tidak membuang kotoran, tidak membuang hingus dan tidak meludah. Sikat rambut mereka terbuat dari emas, keringat mereka berbau kasturi. Pendupaan mereka kayu gaharu yang harum. Isteri mereka bidadari, akhlak mereka sama. Bentuk mereka sama seperti bapa mereka Adam yang tingginya enam puluh hasta menjulang ke langit.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Bukankah syurga itu impian yang paling baik? Cita-cita yang paling hebat dan angan-angan yang paling indah. Satu bentuk kejayaan yang tiada bandingannya. Apabila Malaikat melaporkan perbuatan hamba-hamba Allah dalam satu majlis zikir. Allah SWT bertanya padahal Dialah yang Maha Mengetahui: ”Apakah yang mereka minta?” Malaikat menjawab: ”Syurga-Mu ya Allah.” Allah bertanya: ”Apakah mereka melihat syurga-Ku?” Malaikat menjawab: ”Tidak, ya Allah.” Allah SWT bertanya: ”Bagaimana jika mereka melihat syurga-Ku? Malaikat menjawab: ”Sudah tentu mereka bertambah tamak beribadat dan memintanya dengan penuh kesungguhan.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Bagaimana dengan kita yang masih diulit mimpi mengharap dunia yang tak berharga ini? Mengejar ke seluruh penjurunya hingga lupa tanggungjawab diri, anak dan isteri. Sukakah kita untuk terus ditipu hingga melupakan syurga, kampung halaman kita satu ketika dahulu? Belajarlah daripada Asiah, seorang isteri yang beriman hingga sanggup meninggalkan segalanya untuk mendapatkan sebuah rumah di syurga. Jika anda lapar dan haus ketika berpuasa, ingatlah kesabaran itu semata-mata untuk mendapatkan rumah anda di syurga. Jika rasa hati disakiti, buat apa berdendam kerana esok kenikmatan syurga akan menghapuskan kesakitan itu. Jika letih menjadi isteri di sisi suami yang cerewet dan anak-anak yang mengganggu kesenangan anda cubalah bersabar untuk mendapatkan ganjaran berada di sebuah rumah, seperti rumah Asiah. Dan memiliki setalam hidangan seperti hidangan Khadijah yang dikirim khas dari dapur syurga. Semuanya didapat dengan amal salih dan iman di hati anda. Jika anda merancang untuk kehidupan yang sempurna di dunia, kenapa tidak merancang kehidupan yang sempurna sampai ke akhirat? Padahal di sanalah puncak kebahagiaan kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes