GEMBIRA MENYAMBUT RAMADHAN

GEMBIRA MENYAMBUT RAMADHAN

Kenangan pada bulan Ramadhan akan sentiasa terukir indah di sanubari orang yang beriman. Bermula pada zaman kanak-kanak lagi, sejarah Ramadhan di hati kita tetap hidup. Semasa ayah memujuk agar bertahan melawan lapar dan dahaga, ibu pula sentiasa memuji kesungguhan anaknya dengan janji-janji imbalan yang banyak. Setiap hari ia menyediakan juadah yang serba sedap dan hadiah beberapa sen wang yang cukup menggembirakan hati. Malam Ramadhan yang cantik dihiasi cahaya pelita yang menemani langkah-langkah kaki ke masjid bersama keluarga tercinta, Ramadhan memang penuh kasih sayang.

Seiring dengan bertambahnya usia dan telahpun berlalu Ramadhan dari tahun ke tahun, adakah ia telah mematangkan peribadi kita sebagai mukmin sejati? Jika kualiti ibadat puasa kita tetap sama seperti zaman kanak-kanak, agaknya belum sempurna lagi ilmu hakikat puasa yang difahami. Puasa kanak-kanak hanya setakat menahan lapar dahaga, mereka tidak mengerti bagaimana berpuasa dengan hati dan seluruh anggota badan yang bebas dari nafsu syahwat. Penting bagi orang yang beriman mempersiapkan diri menghadapi Ramadhan dengan ilmu yang cukup. Bahkan setiap kali datangnya Ramadhan persiapan pertama yang dilakukan adalah mengulang kaji pelajaran tentang ilmu berpuasa supaya puasanya mendatangkan kepuasan zahir dan batin sehingga kegembiraan yang hadir adalah kerana nikmat ilmu dan iman yang semakin memuncak di hati. Demikianlah rahsia sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan sewaktu berbuka dan kegembiraan sewaktu bertemu dengan Tuhannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bercakap mengenai sambutan Ramadhan, eloklah kita menilai harga kehebatan Ramadhan yang datang dengan tawaran yang paling menarik. Mengapa Ramadhan begitu istimewa pada pandangan Allah SWT sehingga bonus pahala yang berganda-ganda dihadiahkan. Kemuncaknya adalah sebutan kebanggaan Tuhan ketika menganugerahkannya dengan perkataan yang amat menyeronokkan hati iaitu: “Puasa itu istimewa untuk-Ku, maka Aku sendirilah yang akan mengurniakan ganjarannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika anda dapat meneka apakah agaknya yang akan dihadiahkan oleh Yang Maha Kaya? Padahal segala nikmat dunia ini pada pandangan-Nya hanyalah seharga bangkai keldai yang dikerumuni lalat. Apakah bendanya yang paling nikmat daripada senarai kenikmatan di muka bumi ini? Puncak kemewahan apakah yang Allah SWT akan hadiahkan bagi hamba-Nya yang berpuasa kerana mengharap keredaan-Nya? Mengapa ia begitu rahasia sehingga Allah menyimpannya sehingga nanti kita menjumpai-Nya nanti?

Iman dan ikhlas syarat diterima puasa

Bulan Ramadhan yang dilimpahi rahmat dan berkat, ampunan dan ganjaran yang berlipat ganda sentiasa dinanti-nanti oleh hamba-hamba Allah yang bertakwa. Semua kebaikan itu bukan datang bergolek di riba kita, ia mesti dicari, diperjuangkan dan direbut dengan kesungguhan hati. Sabda baginda SAW yang mafhumnya: ”Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan (penuh pengharapan) maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas sedap dibaca dan pastinya mendatangkan kegembiraan bagi orang yang berpuasa. Dua mesej yang mahu disampaikan oleh baginda SAW dalam hadis tersebut adalah merupakan syarat untuk mendapat ampunan dan diterimanya puasa seseorang iaitu dia hendaklah berpuasa dengan penuh iman dan ikhlas. Orang yang berpuasa demi menegakkan imannya sentiasa berada pada keadaan terjaga dan terlindung dari dosa dan maksiat. Tangan dan kakinya berpuasa, mata dan telinganya berpuasa bahkan hatinya turut berpuasa. Begitu juga maksud iman yang bererti yakin tanpa sebarang keraguan dalam hati dan amalan. Sesiapa yang berpuasa kerana iman tidak akan pernah ragu dalam mengerjakan ibadat sepanjang Ramadhan. Yakin dengan bersedekah, membaca al-Quran, tarawih, qiyamul lail, iktikaf, menambah ilmu dengan mengikuti majlis-majlisnya dan ibadat-ibadat lain yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Itulah maknanya puasa dengan iman. Kerana iman itu perlu diuji dengan kepayahan barulah dapat diterima kebenarannya. Sejauhmana kesabaran seseorang yang berpuasa merupakan bukti iman yang kukuh kepada Allah SWT. Sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: ”Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh) di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” (Ali-Imran: 142)

Syarat yang kedua ialah ikhlas, yang bermaksud bersih, suci, murni dan tulus semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ikhlas atau harapan kepada Allah SWT bagi orang yang berpuasa sentiasa berada di puncak ketinggian. Ikhlas juga umpama ruh bagi puasa, puasa tanpa diiringi dengan keikhlasan bagaikan jasad tanpa ruh. Jika iman menjadi pendorong kepada ibadat-ibadat yang dilakukan oleh orang yang berpuasa, maka ikhlas pula adalah roh yang menghidupkan ibadat tersebut. Kedua-duanya saling berkaitan satu sama lain dan saling lengkap melengkapi. Alangkah ruginya sesiapa yang berpuasa tanpa kedua-dua kekuatan ini. Bagaimanakah nasib puasanya? Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: ” Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain dari lapar dan dahaga.” (Hadis riwayat al-Nasa’i daripada Abu Hurairah)

Ikhlas atau pengharapan itu hendaknya kepada tiga matlamat yang paling baik pada sepanjang bulan Ramadhan iaitu: Rahmat-Nya, maghfirah-Nya dan pelepasan dari siksa neraka. Hamba yang berpuasa redha membakar nafsu syahwatnya semata-mata demi memendam cita-cita ini.

Pertama; Harapan untuk mendapat rahmat Allah sentiasa meluap-luap.
Ketika tadarus Al-Quran suasana hati begitu syahdu, mata menangis dan jiwa merintih bertanyakan tentang adakah Tuhan menerima ibadatku dan merahmati aku? Kekuatan perasaan itu semakin larut bersama malam yang hening seiring dengan ibadah yang dilakukan, tarawih dan qiyamul lail menenggelamkan lintasan qalbu yang asyik mencari hakikat cinta Ilahi. Jika beruntung, maka orang yang menghidupkan malam ini akan merasa sentuhan rahmat-Nya, ditambah lagi dengan ganjaran Lailatul Qadar. Kala sentuhan itu masih membekas di hati hingga kelembutan dan kehalusannya boleh memantul kepada insan lain. Orang yang dirahmati itu memandang dengan pandangan rahmat-Nya sehingga berkasih sayanglah ia dengan saudaranya dan budaya bersedekah semakin tumbuh subur di tengah masyarakat.

Dengan bersandar kepada hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya: ”Sesungguhnya Allah SWT pada hari kiamat nanti berfirman: ”Di manakah hamba-hamba-Ku yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku di mana tiada naungan selain naungan-ku.” (Hadis riwayat Muslim)

Yang kedua ialah harapan kepada ampunan Allah.

Ia menjadi penghias doa sepanjang Ramadhan sepertimana suruhan Rasulullah SAW kepada Aisyah RA agar berdoa dengan lafaz seperti ini: ” Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku. Engkau suka mengampunkan maka ampunilah daku. (Allahumma innaka ’afuwwun kariim, tuhibbul ’afwa fa’fu ’anni)

Eloklah semasa berpuasa sentiasa beringat bahawa diri telah lama lalai dan dihempas pulas gelombang nafsu dunia. Kesempatan tahun ini untuk kita berpuasa adalah peluang yang dibuka kembali untuk kita membersihkan diri dengan taubat walaupun sepatutnya proses taubat itu mesti berjalan sepanjang hayat. Ambillah peluang Ramadhan yang merupakan bulan taubat membawa perubahan pada diri agar lebih bertakwa kepada Allah SWT.

Harapan yang terakhir pada bulan Ramahan adalah pelepasan dari api neraka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah SAW menyatakan bentuk ganjaran bagi mereka yang berpuasa ikhlas berpuasa semata-mata kerana Allah SWT dengan sabda baginda SAW:” Tidak ada seorang manusia yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, melainkan Allah pasti akan memberikan ganjaran untuknya kerana puasanya itu, maka akan dijauhkan wajahnya (tubuh badannya) daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

Betapa agungnya kemuliaan Ramadhan yang membawa keuntungan yang amat berharga bagi umat Nabi Muhammad SAW, tapi sayang sekali, bukan sedikit di kalangan mereka yang meremehkan ibadat puasa ini lantaran nafsu syahwat yang telah lama beraja di hati dan bersultan di mata. Oleh itu, raihlah keberkatan Ramadhan dengan kesungguhan beribadat dan menjaga adab-adabnya, semoga Allah SWT menolong kita mendapatkan pahala Ramadhan yang dijanjikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes