Israk dan mikraj, rahsia kekuatan baru untuk Rasul mengemban dakwah

Israk dan mikraj, rahsia kekuatan baru untuk Rasul mengemban dakwah

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Kronologi peristiwa isra dan mikraj Nabi Muhammad SAW sentiasa menjadi bacaan wajib orang Islam yang memperingatinya setiap tahun. Tiada rasa jemu membaca kisah perjalanan agung yang hakikatnya umpama hadiah istimewa bagi baginda SAW daripada Allah SWT. Tujuan membawa Rasulullah menikmati tanda-tanda kebesaran Allah pada malam itu ialah supaya baginda SAW mendapat kekuatan baru untuk menghadapi keperitan di dalam mengharungi medan dakwah yang terlalu kejam.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra ayat: 1)

Diantara tanda-tanda kebesaran yang diperlihatkan kepada baginda saw adalah kehebatan perjalanan itu yang hanya menghabiskan masa semalaman saja menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenal manusia malah baginda telah menjelajah dari masjidil haram hingga ke Palestin dan dimikrajkan kehadapan Allah Taala untuk menerima kewajipan sembahyang sebagai amalan bagi umatnya, kehebatan perjalanan itu tak dapat diterima dengan akal semata-mata. Nyata satu lagi bukti kekuasaan Allah Taala mencabar keimanan orang-orang Islam yang belum kuat imannya untuk menerima dengan sebulat hati kebenaran peristiwa ini.

Malam itu, Rasulullah berjumpa para nabi di Baitul Maqdis, melakukan sembahyang berjemaah kemudian naik ke langit yang pertama hingga ke tujuh lapisnya. Langit pertama baginda berjumpa nabi Adam AS, beliau mengalu-alukan kedatangan Rasulullah SAW. Di situ diperlihatkan roh para syuhada yang berada di sebelah kanan NAbi Adam dan di kirinya pula roh manusia yang malang. Di langit yang kedua bertemu dengan Nabi Yahya AS dan Nabi Isa As, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf AS, di langit ke empat bersama nabi Idris AS, di langit kelima baginda melihat nabi Harun dan mengucap salam kepadanya, di langit keenam berjumpa dengan nabi Musa AS sehingga jatuhlah airmata Musa memandang Rasulullah SAW seraya berkata: Aku menangis kerana orang muda yang diutuskan selepasku tetapi umatnya masuk syurga lebih ramai daripada umatku.” Dan terakhir berada di langit yang ke tujuh bersama nabi Ibrahim AS.

Bagaimanakah rasanya berjumpa dengan para nabi yang mempunyai misi yang sama dengan baginda SAW? Bagaikan reuni melepas kerinduan bersama insan-insan pilihan Allah SWT. Perjumpaan yang sungguh bermakna menyimpan satu misi tentang kesatuan semangat dan perjuangan dakwah demi menegakkan tauhid di atas muka bumi ini. Supaya Rasulullah SAW sentiasa mengingati sejarah dakwah para nabi yang terdahulu agar menjadi teladan dan contoh terbaik dalam kesabaran, kecekalan dan kesungguhan yang tiada habis-habisnya. Selagimana Allah Taala belum memutuskan untuk mengakhiri misi dakwah ini selagi itu tiada kata berhenti dan menyerah kalah. Adakah diterima atau ditentang hal itu bukan suatu masalah kerana Rasulullah SAW hanya ditugaskan untuk menyampaikan, yang memastikan dakwah diterima dan berjaya adalah Allah Taala. Betapa semangat itu yang diperlukan oleh Rasulullah selepas menghadapi tahun kesedihan ssetelah wafatnya Abu Thalib dan isteri tercinta ummul mukminin sayyidatina Khadijah RA.

Selepas itu baginda SAW dinaikan ke sidratul muntaha di situ diperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Allah yang lain iaitu, Baitul Makmur tempat tawafnya para malaikat yang memenuhi langit dan bumi. Makhluk yang tidak pernah bermaksiat kepada Allah, seolah-olah memberi gambaran hidup secara langsung kepada baginda keindahan beribadah yang paling bersih ialah tunduk dan taat kepada Allah Taala tanpa syarat. Tak dapat dibayangkan perasaan Rasulullah SAW menyaksikan keagungan Allah Taala yang disingkap seluas-luasnya dalam perjalanan itu.

Akhirnya sampailah ke kemuncak peristiwa terindah di sepanjang kehidupan Rasulullah SAW, baginda SAW dimikrajkan naik menghadap Allah. Lalu hampirlah baginda SAW dengan Allah seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir lagi. Ibn al-Qayyim menyebutkan tentang perselisihan pendapat, adakah Nabi SAW melihat Allah SWT? Beliau menyebutkan pendapat Ibn Tayyimah dalam hal ini. Hasil penelitian beliau menunjukkan bahawa melihat dengan mata kepada tidak berlaku sama sekali dan tidak pernah dikatakan oleh mana-mana para sahabat RAsulullah SAW. Pendapat yang dinukilkan daripada Ibn Abbas bahawa baginda SAW melihat itu ialah semata-mata melihat dan melihat dengan mata hati. Juteru penglihatan pertama itu (melihat semata-mata) tidaklah menolak maksud yang diertikan dengan penglihatan mata hati.

Tak dapat dibayangkan keadaan seorang hamba yang berada dekat dengan Allah Taala. Perasaan Rasulullah ketika itu turut dikongsi bersama dengan umatnya melalui perjumpaan ketika mereka sujud menyembah Allah. Sembahyang merupakan mikraj umat Muhammad SAW bertemu Allah secara langsung melalui pandangan mata hati mereka. Betapa indahnya falsafah yang cuba diungkapkan melalui perhubungan yang suci diantara hamba dan Tuhannya. Ketika kita solat hakikatnya kita menghadap Raja segala Raja dan puji-pujian menjadi alat komunikasi yang paling efektif untuk menagih cinta Yang Maha Agung.

Perkataan yang paling istimewa ketika menghadap Allah ialah pujian yang tulus: “Segala penghormatan, keberkatan, solawat dan segala kebaikan adalah milik-Mu Ya Allah.” Kalimah agung inilah yang menghiasi sembahyang umat Muhammad SAW. Jika umat lain yang telah terseleweng akidahnya selepas ketiadaan nabi dan Rasul, maka umat Muhammad membawa ajaran baru yang suci yang tidak memelukan perantaraan antara hamba dengan Allah Taala. “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah ayat: 186)

Tentu saja eksistensi berhala-berhala yang telah lama berdiri sebagai perantara kepada Tuhan mereka tercabar oleh ajaran Muhammad. Al-Quran telah menceritakan penentangan orang-orang kafir: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”. (Surah al-Baqarah ayat: 170)

Penentangan itu sampai pada batas melampau ketika mereka diceritakan tentang peristiwa Rasulullah mengembara ke Masjidil Aqsa dan naik ke langit berjumpa Tuhannya. Berkata Ibn al-Qayyim tentang hal ini: Rasulullah menceritakan kepada kaumnya, iaitu apa yang diperlihatkan Allah kepadanya dari tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Mendengar cerita itu mereka bertambah tidak percaya dan semakin menyakitinya. Mereka mencabar Rasulullah supaya menerangkan bagaimana rupa Baitul MAqdis. LAlu Allah Taala singkapkan dengan jelas sehingga baginda berupaya meyebutkannya dengan tepat. Baginda SAW juga menceritakan tentang rombongan orang-orang Arab yang mahu berrniaga yang telah ditemui Rasulullah SAW, baginda memberitahu rombongan itu tentang unta mereka yang sesat, baginda juga mengkhabarkan bilakah waktunya rombongan itu akan sampai. Malangnya berita itu tidak dapat membawa apa-apa kebaikan kepada mereka melainkan bertambah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya. (Sahih al-Bukhari)

Namun penentangan mereka tidak menyebabkan Rasulullah SAW gentar dan takut bahkan selepas menyaksikan gambaran syurga dan neraka yang diperlihatkan pada malam Israk dan Mikraj begitu pula dengan tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang lain, Rasulullah bertambah yakin dan cekal menghadapi kekejaman umatnya. JIka kita amati surah al-Isra yang menceritakan tentang perjalanan Nabi SAW itu hanya pada satu ayat saja dan ayat yang seterusnya ialah pendedahan tentang kejahatan orang-orang Yahudi.

Penulis kitab sirah moden yang mendapat tempat pertama penulisan Sirah anjuran Rabitah alam Islamy, bertajuk: “al-Rahiq al-Makhtum” yang ditulis oleh al-Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, beliau cuba menganalisis tentang hal ini. Beliau berkata: “Sesungguhnya Allah SWT menggunakan pendekatan ini (surah al-Isra) untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa israk berlaku di Baitul Maqdis kerana orang-orang Yahudi akan disingkirkan daripada memimpin umat manusia. Allah akan memindahkan kepemimpinan ini kepada Rasulullah SAW, Iaitu berpindah dari satu umat yang sejarahnya dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada satu umat lain yang melahirkan kebaikan bersama RAsul yang mendapat wahyu menuju ke jalan yang lurus.

Mesej Israk ke BAitul Maqdis ialah ingatan bahawa Palestin adalah lambang kemunculan dakwah umat Muhammad dan berakhirnya kejahatan Yahudi. Namun kini keadaan malah bertukar sebaliknya, Yahudi merajalela di bumi Allah, Palestin yang hilang sepatutnya kita tebus dengan perjuangan bersama seluruh dunia Islam dengan apa-apa saja kekuatan yang kita miliki. Tunjukkanlah solidariti untuk tanah air kita bersama, negeri Palestin bumi yang melahirkan para Nabi dan Rasul. Lahirkanlah anak-anak segagah salahuddin al-Ayyubi, kerahkan kekuatan untuk menebus kembali tanah yang pernah dimerdekakan Umar al-Khattab RA. Setiap tahun kita menyambut isra mikraj, tetapi apakah semangat dakwah Rasulullah SAW telah terpahat di hati kita?

Sumber :- DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes