Muhasabah Diri Di Akhir Tahun

Muhasabah Diri Di Akhir Tahun

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Keghairahan menyambut pesta tahun baru mewarnai kehidupan penduduk terutama di bandar-bandar besar. Pelbagai gaya dan cara dipersiapkan untuk menghitung detik demi detik berlalunya tahun 2012. Harapan dan cita-cita masyarakat dunia hampir sama iaitu kehidupan yang lebih baik pada tahun hadapan. Peperangan, penjajahan terselindung dan kemiskinan menjadi agenda yang belum lagi ditamatkan. Bagi negara-negara yang majoriti penduduknya adalah orang Islam, banyak permasalahan yang mesti diselesaikan sebagai misi perjuangan membangunkan umat. Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, seorang pendakwah ulung di Mesir suatu ketika dahulu pernah menyuarakan tentang kepentingan amal yang bersepadu di dalam jamaah kaum muslimin. Beliau menggariskan tujuh amal yang mesti dilakukan oleh setiap individu muslim agar kejayaan dan kecemerlangan umat Islam menjadi realiti.

1. Kerja untuk peribadi. Bertujuan memperbaiki diri dengan ilmu, akhlak, akidah, ibadah, dan bermujahadah mencari nafkah dengan jujur dan amanah.
2. Kerja untuk keluarga. Bertujuan mendidik dan membina keluarga muslim yang sempurna jasmani dan ruhani.
3. Kerja untuk masyarakat. Bertujuan untuk mengembangkan aspek-aspek positif dalam masyarakat dan mencegah hal-hal negatif dari berleluasa.
4. Kerja untuk tanah air bangsa dan negara. Bertujuan untuk membebaskan dari pengaruh penjajahan.
5. Kerja untuk kerajaan. Bertujuan untuk melaksanakan aturan dan hukum-hakam untuk kemaslahatan kaum muslimin dan umat manusia seluruhnya.
6. Kerja untuk umat. Bertujuan menghidupkan semula kegemilangan umat Islam dan berusaha menyatu padukan kaum muslimin.
7. Kerja untuk agama. Bertujuan memastikan tersebarnya Islam di seluruh dunia.

Betapa banyaknya tanggung jawap yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Jika mereka sedar dan bangkit memperjuangkan kehidupan mereka tidak mustahil kekuatan dunia akan berada di tangan umat Islam.
Firman Allah SWT: ”Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjuang di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.” (Ali Imran: 142)

Pada penghujung tahun ini adalah masanya bagi umat Islam untuk melakukan muhasabah diri tentang pencapaian-pencapaian yang telah dimiliki dan kekurangan-kekurangan yang perlu diperbaiki. Amalan muhasabah sebenarnya elok dilakukan setiap hari, bahkan Imam al-Ghazali mengajarkan dalam Ihya’ Ulumuddin tentang keperluan melakukan muhasabah pada setiap amal yang dilakukan. Beliau menggariskan konsep ’tiga kali muhasabah dalam satu amal’ iaitu sebelum melakukan pekerjaan, ketika melakukannya dan selepas mengerjakannya. Dalam Al-Quran juga telah ditegaskan tentang suruhan bermuhasabah sebelum kita menghadapi hari penghisaban Allah nanti.

Firman Allah SWT: ”Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dikerjakannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 18)

Sudah sepatutnya orang Islam merancang kehidupannya dengan lebih teratur dan terarah. Tentu saja kehidupan ini bermula di dunia hingga ke akhirat. Rancanglah masa depan akhirat, tetapi jangan sampai terlupa di mana nanti kita akan tinggal. Pada syurga tingkat ke berapa? Bagaimana dengan masa depan anak dan isteri di akhirat nanti? Bolehkan mereka sebumbung dengan kita menikmati istana syurga? Ada pula orang yang langsung tidak merancang hidup di dunia, manalah terdaya akhirat dimiliki. Kemiskinan dan kebodohan menimpa anak-anak yang kurang pendidikan, manakala isteri pula tidak didedahkan dengan tanggungjawab membina masa depan bersama. Manakala si suami asyik dengan sikap malas dan tidak ambil peduli. Apabila kehidupan menjadi beban bagi seorang individu, maka tiada kebahagiaan akan dikecapi. Akan tetapi jika kita memandang hidup ini sebagai nikmat, maka realiti yang akan kita hadapi adalah kemanisannya. Kerana dalam kesusahan itu ada nikmatnya. Pandanglah hidup dengan pandangan manis dan nikmat. Nescaya keceriaan dan kegembiraan sentiasa bersama anda. Benarlah sabda baginda SAW: ”Sungguh mengkagumkan keadaan seorang mukmin, keadaan mereka sentiasa baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali bagi orang mukmin. Jika ia mendapatkan kesenangan ia bersyukur. Hal itu merupakan kebaikan. Jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar. Itu juga merupakan suatu kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)

Selamat menyambut lembaran baru, semoga kita semua mendapat petunjuk daripada Allah SWT untuk menghadapi hari esok dengan kekuatan baru menggapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Sumber :- Drjuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes