Tiga kekuatan hadapi ujian dunia

Tiga kekuatan hadapi ujian dunia

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Urusan dunia sungguh amat menyibukkan sehingga ia mampu membuat manusia lupa sama kepada alam persinggahan di kubur, kiamat, kebangkitan semula, timbangan penilaian amal, mahkamah Allah, titian sirat, telaga kawthar, syurga dan neraka yang akhirnya membawa hidup kekal abadi. Mengapa manusia suka ditipu dan mahu tertipu? Apakah itu akan menyampaikan dirinya ke puncak kepuasan? Tidak, kerana ia diciptakan sebagai makhluk yang tidak boleh merasa puas. Kalau begitu untuk apa dia bersungguh-sungguh memperjuangkan kepuasan duniawinya jika memang dia tidak akan mendapat kepuasan seratus peratus?

Seperti orang yang sangat bernafsu dengan air sirap berais di tengah panas terik. Sudah pun diminum air itu maka hilanglah sekejap rasa dahaga tapi kemudian bosan dengan perisanya yang tak bertukar, mulalah mencari air berperisa yang lain. Dapat yang satu mahu yang lain lagi. Maka sungguh benar perumpamaan dalam Al-Quran, yang menyebut kenikmatan dunia ini sebenarnya permainan yang melekakan, yang tidak boleh memberi kepuasan sebenar kepada manusia. Kenikmatan sesungguhnya adalah berada di dalam syurga Allah Taala.

Manusia dibiarkan bermain-main dengan segala kenikmatan yang tak berharga di sisi Allah Taala. Ramai orang bertanya, mengapa orang kafir diizin Tuhan menguasa dunia ini? Jawapannya sungguh mudah, kerana dunia ini langsung tidak berharga di sisi Allah. Hatta ia tidak senilai bandingan sebelah sayap nyamuk. Jadi siapa saja boleh ambil dan berpuas-puas dengan nikmat dunia yang menipu itu. Allah mencipta khazanah ini cuma untuk ujian kepada seluruh manusia siapakah yang berjaya melaluinya dengan keimanan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kelak orang-orang kafir akan ditanya pada hari kiamat, bagaimana pendapatmu seandainya seluruh isi bumi ini menjadi emas dan menjadi milikmu, mahukah kamu menebus dosamu dengannya? Jawab orang kafir itu: Mahu! Maka dikatakan kepadanya: Dulu, telah dimintakan kepadamu yang lebih ringan dari itu, tapi kamu tidak mahu.” (Riwayat Muslim)

Ya, dahulu di dunia tidak disuruh manusia menyerahkan segala yang ada di dalam akaun banknya untuk mendapat syurga. Jika ada 2,5% sahaja yang menjadi hak fakir miskin itu dikeluar dengan penuh keimanan, ia Amat berharga bagi dirinya. Itu pun turut berfaedah bagi rebat dan menghindari dirinya dari tuntutan cukai. Allah Taala hanya menyuruh mereka beriman, beramal saleh dan jangan berbuat zalim, keji lagi nista seperti perangai syaitan. Semata-mata supaya mereka boleh menebus dan layak memperoleh upah syurga Allah di alam akhirat nanti. Mengapa dengan sujud, kamu tidak mahu membeli syurga Allah, tetapi di akhirat nanti kamu hendak membelinya dengan seluruh hartamu?

Itulah hakikat harta yang tak membawa manfaat sedikitpun kepada pemiliknya. Sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seorang hamba berkata: “Hartaku, hartaku! Padahal hartanya yang sesungguhnya hanya tiga. 1. Apa yang dimakan lalu habis. 2. Apa yang dipakai lalu rosak. 3. Apa yang disedekah dan ia tersimpan (untuk akhirat). Selain daripada ketiga-tiga itu lenyap atau ditinggalkan untuk orang lain (para waris).” (Riwayat Muslim)

Sungguh, amat memilukan orang-orang tua yang masih bergulat memperebutkan dunia dengan cara yang batil, padahal malaikat maut sudah pun dekat mengintainya setiap masa. Sedangkan seorang sahabat Rasulullah SAW, Muaz bin Jabal Radiallahu ‘anhu ketika sampai saat-saat sakaratul mautnya beliau berkata: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak mencintai hidup semata-mata untuk menanam pokok dan menghiasi taman yang cantik, atau untuk mengalirkan sungai-sungai atau untuk membina istana-istana yang tersergam untuk didiami. Tetapi aku mencintai hidup ini hanya untuk tiga perkara, berpuasa di siang hari, menghidupkan ibadah di malam hari dan berkumpul dengan para ulama untuk mengingati-Mu.”

Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa ketika telah dekat kematian di sisi sahabat Rasulullah SAW, panglima perang yang agung, ‘Amru bin al-‘Ash RA, beliau berkata: Sasungguhnya aku telah melalui tiga jalan dalam kehidupanku. Semasa jahiliyah aku tidak mengenal Islam dan orang yang paling kubenci ialah Rasulullah SAW. Seandainya aku mati pada saat itu, pastilah aku termasuk penghuni neraka jahanam. Kemudian aku memeluk Islam, Rasulullah SAW menggenggam tanganku dan bersabda: “Mengapakah kamu wahai Amru? Aku menjawab: Aku mahu syarat supaya Allah mengampuni seluruh dosa-dosaku. Rasulullah SAW tersenyum sambil bersabda: “Tidakkah kamu sudah mengetahui wahai Amru, taubat menghapus apa sahaja dosa yang ada sebelum ini dan Islam menutup kesalahan-kesalahan apa saja yang pernah dilakukan sebelum ini?

Sayyidina ‘Amru berkata: Lalu aku pun masuk Islam, demi Allah sejak saat itu orang yang paling aku cintai adalah Rasulullah SAW. Demi Allah jika kalian meminta kepadaku sekarang untuk menceritakan sifat-sifat baginda, sungguh aku tidak dapat menggambarkannya, aku tidak sanggup bersemuka dengan Rasulullah kerana rasa hormat dan wibawa baginda SAW. Sekiranya aku mati saat itu, besar kemungkinan aku akan masuk syurga. Tetapi amat disayangkan, aku tidak mati bersama Rasulullah SAW. Kemudian berlalulah masa dan dunia telah mempermainkan diriku. Oleh kerana itu, aku tidak tahu sekarang, sama ada aku akan dimasukkan ke syurga atau dicampakkan ke dalam neraka. Tetapi aku masih mempunyai satu kalimah untuk pertemuanku dengan Tuhanku iaitu: Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah”. Akhirnya wafatlah Sayyidina ‘Amru dengan kalimah itu.

Andai saja kita mampu mengingati sejarah hidup yang lalu untuk memperbaiki kesilapan dan mengganti kejahatan dengan amal saleh nescaya tidak akan ada penyesalan pada akhirnya. Namun sengatan dunia begitu kuat memabukkan, membutakan mata hati, mengeruhkan akal sihat, meracuni kesucian hati sampai ke mati.

Apakah usaha-usaha yang paling efektif untuk melemahkan sengatan dunia?

Yang pertama ialah: mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan orang-orang yang lalai. Mereka yang melalui kematian dengan cara suul khatimah. Melihat kematian di setiap kesibukan yang kita lalui memang tidak mudah, adakah pasti hirupan nafas pertama akan bersambung ke nafas yang kedua? Sedangkan malaikat maut berada dekat sedekat-dekatnya. Lalu bagaimanakah keadaan orang-orang yang lalai sekarang di dalam kuburnya? Mesti mereka merayu dengan tangisan yang tak pernah berhenti hingga ke hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: “(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja dan di hadapan mereka ada dinding sampal hari mereka dibangkitkan.” (Surah Al-Mukminun ayat: 99-100)

Kemudian yang paling penting ialah senjata dan benteng kukuh dalam diri agar sengatan dunia tidak mematikan hati. Senjata itu ialah iman, ilmu dan amal saleh. Ketiga-tiganya merupakan kekuatan sebenar seorang hamba. Tak akan bermanfaat harta dan kebesaran melainkan jika bersanding dengan iman, ilmu dan amal saleh. Tapi sayang ramai yang telah memiliki tiga kekuatan ini dan terlalu cepat merasa puas hati. Sehingga usaha untuk memperbaiki iman, ilmu dan amal menjadi terbantut.

Di sini kita melihat satu sifat yang paling merbahya bagi seorang hamba ialah cepat berpuas hati dengan kelebihan yang ada padanya. Padahal iman itu sentiasa naik dan turun, ilmu pula kadang-kadang cepat terlupakan dan amal saleh pun bergantung kepada persekitaran. Maknanya setiap hamba Allah mestilah sentiasa membekalkan hari-harinya dengan tiga bekalan asasi ini.

Mengapa Nabi Adam AS dan Hawwa’ menangis ketika diturunkan ke dunia? Bukankah dunia ini memendam khazanah yang menyilaukan mata? Bahkan mereka menangis kerana begitu hebatnya ujian yang akan dihadapi anak dan cucu mereka sampai akhir zaman nanti.

Sumber :- DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes