Apakah Anda Pernah Menangis Kerana Takutkan Allah SWT?

Apakah Anda Pernah Menangis Kerana Takutkan Allah SWT?

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Dua belah mata boleh menangis tetapi hati tetap reda atas ketentuan-Nya. Demikianlah keadaan orang mukmin yang bersedih. Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya merupakan lumrah kehidupan. Tak mungkin seseorang itu hanya melalui satu episod saja dalam kehidupannya; sedih dan menangis untuk selama-lamanya. Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini. Orang yang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati. Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud. Apabila mendapat nikmat, dia tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih. Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.

Menangis merupakan suatu ungkapan perasaan yang normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab-sebab tertentu. Mungkin berduka kerana telah kembali kepada Allah SWT seseorang yang mereka kasihi. Kerana rindu yang teramat menyiksa kepada orang yang disayangi. Begitu juga orang akan menangis apabila menahan sakit, tak kira apakah ia sakit kerana dilukai perasaannya ataupun sakit pada zahir tubuh badannya. Orang akan menangis apabila kehilangan harta, disiksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dipermalukan di khalayak ramai.

Menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah tangisan boleh diperincikan menjadi sepuluh jenis mengikut pelbagai maksud dan tujuan masing-masing: Tangisan kasih sayang, tangisan ketakutan, tangisan gembira, tangisan kegundahan, tangisan cinta dan rindu, tangisan kesedihan, tangisan ketidakberdayaan, tangisan kemunafikan, tangisan orang upahan, dan terakhir tangisan ikut-ikutan.

Tetapi ada satu tangisan yang istimewa dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat bahkan ia boleh menghidupkan jiwa yang telah lama mati. Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata yang dileleh itu ibarat gelombang yang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam yang bergelora. Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati untuk meneroka alam yang lebih jauh lagi. Alam ghaib yang tak nampak di mata kasar, hanya hati yang beriman boleh merasai kebenarannya. Tangisan itu dianugerahkan kepada para Nabi dan Rasul, para syuhadak dan orang-orang saleh. Mereka berhak mendapat perlindungan Allah Taala pada hari yang tiada perlindungan selain perlindungan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah airmatanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tangisan itu mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah SWT. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin menangis ketika membaca ayat al-Quran di dalam sembahyangnya, yang bermaksud: “Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” (Surah al-Tur ayat: 27)

Dan menangis pula ketika membaca ayat Allah yang bermaksud: “Jika Engkau menyiksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Eangkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah ayat: 118)

Saidina Umar bin al-Khatab berkata: “Seandainya ada seruan dari langit yang mengatakan: Wahai manusia, sesungguhnya kalian semua masuk syurga kecuali seorang. Tentulah aku amat takut kalaulah orang itu adalah diriku.” Maka beliau pun teresak-esak demi membayangkan kengerian peristiwa itu.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan para sahabat Rasulullah SAW tetapi kini aku tidak menemukan lagi orang-orang seperti mereka. Sesungguhnya mereka berpagi-pagi dalam keadaan yang kusut, mata yang bengkak kerana menangis ketika qiyam pada malam hari. Mereka membaca al-Quran sambil berdiri, duduk dan berbaring pada lambung mereka. Mereka berzikir dengan tubuh yang berguncang-guncang bagaikan pohon ditiup angin kuat sedangkan mata mereka basah oleh air mata sehingga membasahi pakaian mereka. Demi Allah, seolah-olah keadaan umat sekarang seperti umat yang semalaman dalam keadaan lalai.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku belum pernah melihat sesuatu yang boleh menyebabkan orang yang tidur terbangun lantas lari daripada statu ancaman seperti encaman neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati, ada ruang untuk mengadu kepada Allah SWT, ada peluang untuk mengetuk pintu maghfirah-Nya, ada kesempatan untuk meminta perlindungan dari azab neraka. Tetapi manusia yang lalai telah melepaskan peluang keemasan itu untuk sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.

Untuk mencapai darjat iman yang tinggi sebagaimana para sahabat Rasulullah SAW tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Kemalasan dan leka dengan permainan dan hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi kurangnya ilmu dan penghayatan tentang jalan-jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dan kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati. Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama dirinya semakin tenggelam kealpaan. Betapa kita perlukan pertolongan Allah kerana hanya Allah Taala yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada kejahatan dirinya sendiri.

Sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Allah Taala berfirman melalui lisan Nabi Yusuf AS yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf ayat: 53)

Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal maka keraslah hati dan keringlah mata daripada mata air taubat. Jika berdiri untuk sembahyang, akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh diingat di manakah tempat menyimpannya. Maka terbukti sembahyangnya kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah SWT. Bagaimanakah matanya boleh menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan sang Pencipta?

Begitu juga ketika membaca ayat-ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam terhadap isi kandungan Al-Quran. Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesunggguhnya Al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan. Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan kami.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)

Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan Al-Quran kepada baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah SAW menitiskan airmata.

Abdullah bin al-Syakir berkata: Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika baginda bersembahyang, sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara seperti air yang mendidih kerana tangisan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Bagaimana jika air mata tak jua mahu keluar, puas sudah hati memaksa sedih supaya kekhusyukan boleh singgah walaupun sekejap. Kesilapan apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini? Pertama, hal ini disebabkan kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah SWT. Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah, segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya sehari-hari. Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main. Keempat, kurang muhasabah dan bertafakkur melihat kelemahan dan kekurangan diri. Dan yang relima, berlebihan pula membanggakan amal sehingga mematikan rasa takut kepada Allah Taala.

Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan menangis kerana takut kepada Allah SWT itu boleh melonjakkan semangat seorang hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya. Bukankah para syuhadak telah menumpahkan darahnya kerana meninggikan kalimah Allah, biarlah kita mulakan ia dengan menitiskan air mata kerana Allah, itu saja sekadar yang termampu dahulu, kerana harga yang setitis air mata itu lebih mahal dari dunia dan segala isinya. Memang sungguh berbaloi!

Sumber :- DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Apakah Anda Pernah Menangis Kerana Takutkan Allah SWT?”

  1. tak ramai yang menangis pada akhir zaman ni

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes