Keutamaan pemimpin yang dikasihi umat

Keutamaan pemimpin yang dikasihi umat

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Setiap anak yang lahir akan menonjolkan kehebatan pertamanya iaitu tangisan yang memukau dan mengundang airmata kesyukuran ibu bapanya. Kemudian timbul pula impian yang bermacam-macam tentang masa depan anak itu, dia mesti berjaya! Kalau boleh jadi orang nombor satu di tadika, di sekolah, di kolej, di Malaysia dan di seluruh dunia. Akhirnya menjadi barisan pertama yang masuk ke syurga firdaus bersama para Nabi dan Rasul, syuhada’ dan salihin. Adakah impian itu akan menjadi kenyataan? Ramai ibu bapa yang takut bermimpi walaupun hanya sekadar merancang, jadi tak jadi, dapat tak dapat, yang penting apabila besar nanti anak ini tidak menyusahkan orang-orang di sekelilingnya. Selamat, sejahtera sebagai muslim yang beriman.

Setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin. Lelaki dan wanita yang mengaku sebagai mukmin wajib menanamkan sifat-sifat kepemimpinan dalam diri mereka. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpinnya.” Bahkan seorang wanita di rumah suaminya adalah ketua bagi urusan rumahtangga mereka. Mahu tak mahu seseorang mesti bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikulnya di dunia.

Konsep kejayaan bagi para pemimpin di dunia amat beragam mengikut kepercayaan, prinsip hidup dan latar belakang sejarah yang membentuk peribadi masing-masing. Mungkin kita masih ingat sewaktu pertama kali didedahkan dengan tanggungjawab di sekolah. Memimpin kelas, atau ketua kumpulan dalam apa-apa projek yang diamanahkan oleh guru. Ada rasa gementar kerana takut, malu dan bangga melalui pengalaman pertama sebagai manusia yang dipilih.

Seiring berjalannya masa yang berlalu dengan pantas, terbentuklah jati diri yang dipengaruhi oleh persekitaran. Jiwa kepemimpinan itu lama kelamaan kian bergelora. Hingga Allah Taala kurniakan bermacam-macam kenikmatan hidup di dunia yang menjadi pertaruhan terbesar dalam sejarah kehidupan kita. Apa hendak dikata jika telah menjadi suratan takdir bahawa manusia adalah khalifatullah fil ard. Wakil Allah dalam mentadbir urus dunia sebagai bekalan menuju ke negeri yang abadi.

Telah menjadi resam kehidupan seorang pemimpin, dipuji dan dihina sesekali difitnah, adakalanya menjadi mangsa dengki dan dendam manusia. Namun itu semua berbaloi dengan upah yang di dapat, jika dia ikhlas kerana Allah semata-mata. Ketika dia memberi bantuan kepada yang memerlukan dia tak akan meminta balasan kerana yang berhak dimintai balasan atas kebaikan kita hanyalah Allah Taala. Kalau pun orang yang ditolong itu menderhaka kepadanya itu tidak membuatnya berkecil hati kerana dia yakin bahawa orang itu tidak membawa apa-apa makna pun dalam kepemimpinannya. Hanya Allah Taala yang boleh menjatuhkan atau meninggikan setiap pemimpin di atas muka bumi ini.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim berkata: ”Tahanlah dirimu daripada orang yang pujiannya tidak menambah kebaikan apapun pada dirimu dan orang yang hinaannya tidak menjadikanmu terhina. Sukailah kepada pujian orang yang pujiannya dapat menjadikanmu mulia dan sukailah orang yang hinaannya menjadikanmu gelisah, semua itu tidak dapat diperolehi kecuali dengan sabar dan keyakinan.”

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami ketika mereka sabar dan adalah mereka meyakini ayat-ayat kami.” (Surah Al-Sajdah ayat: 24)

Contoh kegelisahan positif seorang pemimpin mukmin terdapat dalam peribadi Umar bin Abdul Aziz yang memerintah selama 30 bulan saja. Suatu malam ketika beliau bertugas mencatat dan mengamati perkembangan negara datanglah putera beliau menghadap, kemudian beliau bertanya: ”Wahai anakku, apakah urusan kamu berhubungan dengan hal ehwal umat ini atau hanya urusan keluarga saja? Anaknya berkata dari luar kamar: ”Ini urusan keluarga, wahai ayahanda.” Tiba-tiba lampu pelita yang digunakan dipadam sehingga keduanya bergelapan. Umar berkata: ”Sesungguhnya minyak lampu ini dibeli daripada harta negara dan hanya boleh dipergunakan untuk urusan negara, adapun kamu datang sebagai seorang anak kepada ayahnya. Maka kita tidak berhak atas lampu ini.”

Begitu halusnya perkiraan seorang pemimpin yang sedar bahawa dirinya adalah wakil Allah Taala dalam mempergunakan harta rakyat. Maka segala tindak-tanduk dihitung sehalus-halusnya untuk membuktikan kepada Allah bahawa dia dapat dipercaya. Dia yakin tempat teguh pemerintahannya hanya berdiri di atas landasan neraca keadilan. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud: ”Dan Allah telah meninggikan langit dan dia meletakkan neraca (keadilan). Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Surah al-Rahman ayat: 7-9)

Cita-cita tertinggi seorang pemimpin yang beriman adalah menjadi orang yang dikasihi rakyatnya. Berjaya atau tidak karier kepemimpinan dalam membina umat bukan menjadi kuasa dirinya, semua itu berada di dalam kudrat Allah Taala. Dia hanya menjalankan tugas tetapi yang menentukan berjaya atau tidak adalah Allah Taala. Dia hanya mengharap pahala daripada Allah SWT sehingga tiada rasa putus asa jika ditakdirkan gagal.

Namun demikian Allah Taala telah menjanjikan pertolongan-Nya kepada sesiapa saja yang terpanggil untuk membela umat menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa, (iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj ayat: 40-41)

Untuk memastikan usaha mereka yang berada di barisan hadapan berjaya, mereka perlu memiliki sifat dan karakter yang menonjol berbanding dengan yang dipimpin. Dalam al-Quran disebutkan beberapa sikap pemimpin yang sempurna yang dijanjikan akan berjaya membawa rakyatnya kepada kemenangan.

Antaranya ialah pemimpin yang memandang kekuasaan itu sebagai suatu ujian yang patut disyukuri. Firman Allah dalam surah Al-Naml ayat 40 yang bermaksud: “Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, diapun berkata: Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”

Berusaha memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang saleh juga menjadi faktor kemenangan seorang pemimpin. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan sungguh telah kami tulis di dalam Kitab Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai oleh hamba-hambaKu yang saleh.” (Surah Al-Anbiya’ ayat: 105)

Yang terakhir ialah sifat berhati-hati dengan kemewahan dunia agar dunia tidak memperdayakannya. Menerusi firman Allah berikut ini kita dapat melihat sejauhmana kerosakan yang ditinggalkan oleh pemimpin dan umatnya yang gila terhadap dunia. Maksudnya: “Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah Al-Anam ayat: 44-45)

Para pemimpin yang memiliki sifat-sifat paling terkedepan selayaknya mendapat gelaran al-Sabiqun, iaitu orang yang paling ke hadapan dalam berbuat kebaikan. Jumlahnya hanya sedikit sehingga para sahabat RAsulullah SAW berlomba-lomba dengan amalan mereka untuk mencapai darjat al-Sabiqun yang berada dekat di sisi Tuhan mereka. Semoga para pemimpin umat yang terdiri daripada barisan ulama dan umara, para cerdik pandai dalam segala bidang pendidikan atau pun yang berjaya di segenap bidang kehidupan terpanggil membina umat ini di atas satu landasan iman dan takwa kepada Allah Taala.

Sumber :- DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes