Ramadan Satu Destinasi Membina Modal Insan

Ramadan satu destinasi membina modal insan

Oleh: Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Puasa adalah rahsia di antara seorang hamba dengan Allah SWT. Bukankah tidak ada seorangpun yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak, melainkan Allah? Puasa juga menjadi puncak keikhlasan seseorang kepada Allah dan tanda keredaan kepada-Nya. Demi menunaikan ibadat yang sukar ini, kita rela meninggalkan segala kenikmatan semata-mata kerana mencintai Allah dan tunduk kepada-Nya.

Ketika seorang hamba melafazkan niat berpuasa, dia sungguh yakin hanya kepada Allah tempat sepatutnya dia mempersembahkan segala pengorbanan. Terbetik dalam sanubarinya; “Wahai Tuhan, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa kelaparan, dahaga dan kelemahan jasadku ini semata-mata demi mencintai dan mentaati-Mu.” Kata-kata yang tulus ikhlas ini akan dibalas dengan imbalan yang paling istimewa, sepertimana janji dalam sabda Rasulullah SAW melalui hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: ”Sesungguhnya puasa itu adalah khusus untuk-Ku dan hanya Aku yang layak menentukan ganjarannya. Orang yang berpuasa meninggalkan kehendak nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana mematuhi perintah-Ku. (Hadis riwayat Muslim)

Apabila Allah SWT menyatakan hanya Aku yang layak membalasnya, ini bermakna balasan itu terlalu hebat dan tidak tercapai oleh akal fikiran, pandangan, pendengaran dan perasaan manusia. Ia sengaja disimpan menjadi rahsia yang akan dianugerahkan di akhirat kelak. Bahkan Rasulullah SAW menyatakannya sebagai ’dua kegembiraan’ bagi orang berpuasa, iaitu ketika ia berbuka dan ketika ia menjumpai Tuhannya. Hanya hamba-Nya yang ikhlas dan reda sahaja yang akan menerima.

Jika kita menumpukan pada perkataan ’ikhlas dan reda’, sudah tentu yang tergambar adalah peranan hati. Di situlah tempat bersemayamnya kebaikan, sekaligus tempat palitan kebusukan dosa. Hanya kita yang mampu mengurus hati kita sendiri. Susunan perhiasan yang paling indah dan sesuai untuk hati adalah ilmu, sepertimana sabda baginda SAW yang maksudnya: ”Barangsiapa yang Allah menghendaki suatu kebaikan pada dirinya maka Allah memberinya pengetahuan dalam urusan agamanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya punca-punca kebaikan ada pada diri kita disebabkan oleh ilmu. Seseorang tidak akan memiliki darjat ikhlas dan reda kecuali dengan pencarian dan kajian ilmunya.

Menuntut ilmu agama bukan hanya kewajipan anak-anak di sekolah sahaja. Setiap Muslim yang muda dan tua, semuanya mempunyai kewajipan mengkaji kitab Allah SWT dan menghayati hadis Rasulullah SAW. Hari-hari yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah SAW adalah pengisian ilmu, pembersihan jiwa dan pengamalan Islam. Sesungguhnya aktiviti memperkasakan ilmu agama ini menjadi kegemaran mereka. Begitu juga contoh yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, ketika bulan Ramadan baginda melakukan aktiviti pembelajaran Al-Quran bersama malaikat Jibril. Baginda bertadarus supaya kita mencontohi amalan ini dan menjadikan ia suatu kebiasaan dalam rangka menimba lautan ilmu. Supaya kita sentiasa dekat dengan ilmu, rapat dengan Al-Quran, menyematkan kehendak Kalam Allah dalam hati dan amalan, juga ingat kepada nasihat baginda SAW di dalam hadis-hadisnya. Akhirnya hari-hari yang kita lalui pada bulan Ramadan persis sama seperti yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Sabda baginda SAW yang maksudnya: “Puasa dan Al-Quran akan meminta syafaat untuk seorang yang taat. Puasa akan bermohon: Ya Allah, Aku telah menghalangnya daripada makan dan minum pada siang hari, maka engkau terimalah syafaatku ini untuknya. Dan Al-Quran berkata: ya Allah, Aku telah menjaganya dari tidur pada malam hari, maka Engkau terimalah syafaat-Ku ini untuknya. Akhirnya kedua-dua syafaat itu diterima.” Hadis riwayat Imam Ahmad.

Tapi sayang, ada sebahagian orang yang berpuasa tapi tak berilmu, berpuasa kerana mengikut tradisi masyarakat di sekelilingnya. Melakukan pembaziran sewaktu menyambut puasa. Sengaja membuat pinjaman wang untuk membeli dan merai Hari Raya dengan niat menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Sepanjang siang fokus hatinya hanya pada keghairahan duniawi. Tak terlintas di manakah gerak hati untuk membaca Al-Quran? Manakala pada malam hari pula jiwanya dikawal syahwat dan nafsu yang tak pernah puas, sehingga lemahlah tubuh badannya dari melakukan tarawih, tadarus dan qiyamulail. Dia tidak pernah menyesal meninggalkan malam-malamnya tanpa ibadat!

Antara punca kelalaian semasa bulan Ramadan adalah disebabkan oleh:
1. Kebiasaan membuang masa. Ini berlaku apabila seseorang kurang cekap memilih masa berkualiti untuk setiap ibadat yang dilakukan. Satu saat untuk satu zikir adalah ubat bagi lidah yang suka mengumpat, membaca Al-Quran lebih diutama dari duduk menonton atau mendengar hiburan, masa untuk makan diganti untuk sembahyang sunat dan membaca satu hadis Rasulullah SAW. Satu bulan anda boleh mengkhatam Al-Quran dan tiga puluh hadis Nabi SAW. Tapi apabila pengurusan masa tidak efisyen, akibatnya anda akan tenggelam dalam kesibukan yang tak dirancang sebelumnya.

2. Makan berlebihan. Perut yang terlalu kenyang akan menjadikan tubuh badan lemah. Makan tak seimbang juga memudaratkan kesihatan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; ”Orang beriman makan dengan satu usus perutnya, manakala orang kafir makan dengan tujuh usus perutnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber :- Drjuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes