KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS (20 Julai 2012 / 30 Syaaban 1433H) – AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN
AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN
(20 Julai 2012 / 30 Syaaban 1433H)
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan kualiti takwa kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk: “AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bulan Ramadan merupakan bulan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan berbagai kelebihan didalamnya dan sentiasa disambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan kegembiraan oleh umat islam diseluruh dunia. Dalil kewajipan berpuasa dibulan Ramadan amat jelas berpandukan Al-Quran dan sunnah sahihah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Dan dalil dari sunnah sahihah ;
قَالَ رسول الله صلى الله عليه و سلّم : لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَه
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Janganlah kamu berpuasa (Ramadan) sehingga kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu semua berbuka puasa (Menyambut hari raya) sehingga kamu melihat anak bulan (syawal). Jikalau (anak bulan) terlindung oleh awan sehingga kamu semua tidak dapat melihatnya, maka percukupkanlah bilangan hari bagi bulan berkenaan ” (Hadis sahih riwayat Bukhari)
Sebenarnya menjadi satu yang lumrah kepada umat Islam saban tahun apabila hadirnya bulan Ramadan, kita diperingatkan secara berulang-ulang kalimah kalam Allah “La’allakum Tattaqun” yakni supaya kamu bertakwa. Namun, yang menjadi persoalaannya, sudahkah kita mencapai ke tahap takwa itu setiap kali datang dan berakhirnya bulan Ramadan? Satu perkara yang penting dan perlu diberi perhatian ialah segala bentuk ibadah sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya, tidak akan diterima oleh Allah SWT melainkan jika dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak akan diterima oleh Allah, apatah lagi untuk diberikan ganjaran.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Adab-adab yang berhubung dengan ibadat puasa mestilah dirujuk kepada tunjuk ajar Allah SWT dan Rasulullah SAW iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah. Antaranya :
1) Berniat puasa kerana Allah dalam hati untuk berpuasa pada malam hari yakni sebelum masuk waktu subuh.
2) Bersahur pada akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud : “Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada keberkatannya”.
Selain bersahur, kita amat digalakkan untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witir, beristifghar dan amalan-amalan sunnah yang lain sebelum menunaikan solat subuh berjemaah.
3) Membanyakkan bacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan dengan bertadarus. Dalam hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, Ibnu Abbas RA berkata: “Nabi SAW adalah seorang yang pemurah, dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan, ketika mana Jibril berjumpa dengan Baginda, mereka saling bertadarus Al-Quran, dan Jibril berjumpa dengan Baginda pada setiap malam pada bulan Ramadan, maka mereka saling bertadarus Al-Quran…”
4) Membanyakkan doa semasa berpuasa dan ketika hampir berbuka.
Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat al-Bazzar, yang bererti :
“Tiga golongan yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, iaitu orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang”.
Begitu juga, hadis Nabi SAW dalam riwayat ibnu Majah, yang bermaksud : “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak”
5) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat al-Bukhari, yang bermaksud:
“Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa”.
6) Digalakkan berbuka dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikut sunnah nabi SAW, dan jika tiada keduanya, maka kita mulakan dengan meneguk air. Sunnah kita membaca doa berbuka yang diajar oleh nabi SAW iaitu :
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ
Ertinya : “Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya Insya Allah ”
7) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Hal ini berdasarkan hadis riwayat An-Nasaie yang sahih.
Sidang Jumaat Sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar berharap bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan bagi tahun 1433 hijrah ini, marilah kita berazam dan membuat persediaan merebut peluang ini untuk meningkatkan kualiti ibadah puasa kita. Selain kita mengetahui adab-adab dan hukum hakam puasa yang perlu dilaksanakan ketika berpuasa, kita juga hendaklah mengetahui amaran berbuka puasa pada siang hari pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan. Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih Riwayat An-Nasai ; Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja diberi ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir pada hari akhirat kelak.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Sumber :- Facebook Dr Juanda (Mufti Perlis)


July 20th, 2012
admin 
Posted in
Tags: