Mencari Syurga Yang Hakiki
Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti perlis)
Dunia telah mempertontonkan kepada kita kekejamannya bagi setengah-setengah insan yang kurang bernasib baik. Seorang kuli yang bekerja di pasar dengan bermodal tulang empat kerat terpaksa harus mengangkat barang berpatus-ratus kilogram sehari demi mendapatkan dua atau tiga puluh ringgit untuk nafkahi anak dan isteri. Seorang wanita yang bekerja membersih tandas awam pulang ke rumah hingga jauh malam semata-mata hendak dapatkan RM 500 sebulan demi anak-anak yatimnya. Suami yang bekerja sebagai kerani biasa terpaksa menolong isteri menjual kuih seawal pukul 4 pagi semata-mata mahu memberi keselesaan hidup kepada anak-anak mereka. Mereka semua bukan orang-orang yang malas dan lembik sepertimana diperkatakan golongan kaya dan berkedudukan tinggi yang suka mencemuh, pantang melihat orang miskin. Boleh jadi tenaga dan kecekalan hati orang-orang fakir jauh lebih hebat daripada keadaan orang-orang yang terlahir tak mengenal langsung apa itu kemiskinan.
Untuk berada di puncak kejayaan ada kalanya seseorang mesti mengorbankan kebahagiaannya. Sedikit demi sedikit wang dikumpul, harta dijimat dan digandakan dengan usaha yang gigih. Selepas jangka waktu yang panjang titik peluh itu kini berbuah, alangkah susahnya mendapat syurga dunia. Padahal ia jauh lebih hina daripada syurga akhirat. Untuk memiliki sebuah rumah teres yang sempit bagi orang yang berpendapatan sederhana perlukan masa lima atau sepuluh tahun untuk mengumpul wang dan pada jangka masa itu terpaksalah berpindah-randah menyewa rumah. Betapa berharganya wang seringgit dua yang dikumpul demi impian memiliki rumah sendiri. Itu pun masih harus menghabiskan baki hutang hingga dua puluh tahun lagi. Tak hairan jika minum air kosong dan makan dengan telur mata kerbau setiap hari pun tak apa demi rumah idaman. Pernahkah kita menyelami dasar hati dan bertanya: “Mengapa untuk mendapatkan kekayaan dunia manusia sanggup berjaga sepanjang malam, bangun awal pagi, bersesak-sesak dan berebut-rebut mencari rezeki demi kenikmatan dunia yang sementara ini. Padahal Allah Taala telah menjanjikan syurganya yang lebih hebat lagi kekal selama-lamanya tanpa perlu keletihan bekerja seharian, tanpa perlu tertekan dengan persekitaran yang kejam, tanpa perlu menjadi binatang buas yang kerjanya mengorbankan orang lain demi nafsu serakah.
Ramai yang tertekan dengan persaingan di pejabat, jatuh menjatuhkan untuk mendapat kedudukan tinggi, bodek membodek, jilat menjilat, tikam belakang hingga berhadapan dengan segala ego dan kesombongan melampau. Manakala yang fakir kecut dikejar-kejar hutang, dengki dengan harta orang lain, putus asa dengan pendapatan yang licin habis pada tengah bulan. Oh betapa kita ditertawakan oleh takdir kita sendiri.
Suratan nasib anak-anak Adam yang melakonkan segmen-segmen kehidupan yang cukup melelahkan. Untung atau rugi, bahaya atau aman, kaya atau miskin, pintar atau bodoh, menipu atau tertipu, zalim atau dizalimi, iman atau kufur. Semuanya atas pilihan masing-masing. Hingga suatu masa nanti mereka yang memilih lorong gelap dalam hidupnya ternganga disentap malaikal-maut. Pelik tapi benar, mereka ini sempat juga mahu merasuah dengan apa-apa saja yang pernah dimiliki di dunia agar boleh terselamat daripada azab Allah Taala:
Al-Quran menceritakan: “Sedang mereka saling memandang. orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya. Dan isterinya dan saudaranya. Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya (segenap isi dunia sekalipun). Kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Sekali-kali tidak dapat, Sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama). Serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya. (Surah Al-Maarij ayat: 11-18)
Demi mendapatkan dunia mereka sanggup melakukan apa-apa saja untuk membina empayar kekayaan dan kuasa, anak-anak dan isteri yang menjadi cahaya mata, keluarga dan para hamba yang sedia menolong dan menjaga nama baik mereka. Akhirnya semua itu mahu dijadikan ‘tumbal’ untuk keselamatan dirinya sendiri. Kalau boleh dijadikan benteng yang melindungi dari azab Allah taala. Tak hairan siapapun boleh dijadikan mangsa hatta anak dan isteri sendiri.
Kalau begitu keadaannya, manusia sebenarnya telah ditipu oleh hawa nafsunya sendiri. Semua benda yang disukai, dikejar-kejar, dikumpul-kumpul, direbut-rebut daripada tangan orang lain akhirnya tak boleh menolongnya sedikit pun di akhirat nanti.
Kadang-kadang kita berfikir jika Allah Taala memberi segala-galanya yang kita mahu di dunia ini, adakah Dia akan memberi kepada kita juga di akhirat nanti? Terbit rasa takut dan risau jika membaca ayat Al-Quran yang sungguh menyentap hati:
“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): “Kamu telah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya.” (Surah Al-Ahqaf ayat: 20)
Alangkah ruginya memiliki segala-gala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama enam puluh tahun sahaja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja. Hidup sebagai orang kaya mempunyai risiko menjadi lalai begitu pula hidup miskin lagi merbahaya kerana manusia boleh jadi lebih dekat kepada kekufuran. Bagi mereka orang-orang miskin jangan menyesal telah dilahirkan ke dunia, kerana di situlah medan pergulatan antara nasib baik dan buruk. Kita hanya disuruh memenangi perlawanan ini dengan senjata iman. Rsulullah pernah bersabda: SEsungguhnya kekayaan yang sebenar itu ialah kaya hati.
Bermimpilah untuk memilih rumah-rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah salah seorang kamu mengambil wudhu kemudian memperbaiki wudhunya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga’. (HAdis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Albani) Diwajibkan masuk syurga sebagaimana lafaz daripada Imam Muslim.
Bagi mereka yang miskin atau kaya, yang masih bernafsu untuk menaklukkan dunia mencapai kemuncak kenikmatan yang fana ini, sampai bilakah jerih payah dan pengorbanan dapat memuaskan diri? Jika suruhan dan perintah Allah Taala yang Maha Kaya tidak dipenuhi? Suatu ketika di negeri akhirat nanti, Allah Taala akan menyelamatkan seorang penghuni neraka dan memasukkannya ke dalam syurga. Dia merangkak-rangkak menghampiri syurga Allah dan dialah orang terakhir memasukinya. Kemudian Allah Taala yang Maha Kaya berfirman: “Pergilah dan masuklah ke syurga, untukmu yang sebanding dengan dunia dan sepuluh kali gandanya.” Yang demikian itu dikatakan serendah-rendah kedudukan ahli syurga. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Wahai pencinta dunia, tidakkah rugi menukarkan yang sepuluh kali ganda itu dengan apa yang kita miliki sekarang? Bukankah banyaknya nikmat Allah Taala yang diberi untuk seluruh makhluk di dunia ini seumpama setitis air daripada jari yang dicelupkan ke dalam lautan? Kerana yang setitis itu manusia saling menumpahkan darah, sungguh betapa kejamnya dunia yang menipu!
Sumber :- Drjuanda.com


July 2nd, 2012
admin 
Posted in