Punca Rapuhnya nilai ibadah

Punca Rapuhnya nilai ibadah

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Setiap hari kita melakukan aktiviti yang menjadi rutin harian dengan matlamat tertentu. Kadang-kadang kita lupa di sebalik matlamat yang kita tetapkan ada sesuatu yang terlepas dari pemikiran kita. Iaitu kesedaran bahawa segala perbuatan kita hari ini ditulis sebagai ibadah jika ia menepati kehendak Allah Taala. Syeikul Islam Ibnu Taimiyah berkata di dalam risalahnya tentang ‘ubudiyyah: “Ibadah ialah kata nama (ism) yang merangkumi semua yang disukai Allah dan diredai-Nya sama ada percakapan atau perbuatan, zahir mahupun batin. Seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, amanah, berbuat baik lepada kedua orang tua, menghubung silatur rahim, menunai janji, menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar, berjihad, berbaik-baik dengan jiran, orang miskin dan musafir, membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir dan lain-lain lagi yang seumpamanya.”

Maknanya ibadah itu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Dari yang serendah rendahnya seperti beradab dalam makan dan minum sehingga yang sebesar-besarnya
seperti membina negara, mengurus politik pemerintahan, ekonomi, teknologi hingga urusan keselamatan negara. Agama ini bukan milik orang-orang yang berjubah dan serban sahaja tetapi polikitkus yang amanah, saintis dan pakar ekonomi juga boleh menjadi pengabdi Tuhan yang tak kalah hebatnya.

Ketika ditanya kepada Abu Hurairah mengapa beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis baginda Rasulullah SAW melebihi sahabat terdekat baginda, seperti Abu Bakar dan Umar Al-Khattab, dikatakan bahawa kedua-duanya aktif mengurus hal-ehwal umat sehingga tertinggal daripada Abu Hurairah yang sememangnya menjadi orang yang sentiasa berada di sisi Nabi SAW dan menghafal hadis-hadisnya. Namun demikian baginda tetap meletakkan kedua-dua sahabat yang paling dikasihi itu sebagai orang yang amat istimewa di hati baginda SAW.

Amat merbahaya jika kita beranggapan bahawa Islam yang baik itu mesti melepak di masjid sepanjang masa dan meninggalkan urusan mencari nafkah demi membangun umat. Ibadah dalam Islam terlalu luas dan menjadi hak milik semua golongan, tak kira hamba sahaya atau orang kaya, tua dan muda, yang lahir di barat atau di timur semuanya berhak dinilai di sisi Allah sebagai ahli Ibadah. Kadang kala manusia menilai sesuatu daripada luaran sahaja, yang bersongkok kononnya lebih alim padahal yang memakai kot lebih luas pemahaman Islamnya kerana aktif melayari laman web Islam di Internet. Boleh jadi mereka ini lebih berpandangan terbuka dan mahu berfikir dibandingkan orang-orang yang hanya mengamalkan Islam secara ikut-ikutan tanpa dalil dan pencarian ilmu yang mendalam.

Agama ini milik semua, yang berhak menilai siapa yang terbaik ibadahnya hanya Allah Taala sahaja. Mengapa kita perlu mengingati diri kita supaya tetap berada dalam zon ibadah kepada Allah SWT? Kerana ramai yang mengasingkan ibadah dalam kehidupan, mereka mengkotak-kotakkan tempat, waktu dan suasana ibadah menurut fahaman liberal. Mereka yang menganut prinsip ini dengan selambanya boleh menegak arak malam ini dan bertahlil esok malam. Atau pergi haji empat puluh hari dan kemudian lupakan Allah sepanjang tahun. Betapa sempitnya ruang pemikiran mereka tentang agama. Mereka merasa layak dipanggil muslim dengan cukup melakukan ibadah pada momen-momen besar seperti perayaan-perayaan yang bersifat formaliti belaka. Maka agama itu jadi barang mainan dan sendaan. Tiada roh syariat mengalir dalam darah daging mereka. Agama tidak dijadikan penggerak dalam membuat keputusan. Ianya cuma diamal jika boleh mendatangkan keuntungan. Mereka memakai pakaian mengikut aturan Islam ketika majlis akad nikah di masjid kerana begitulah pakaian untuk ke masjid sedangkan di luar sana bebas semahunya, mereka mengenal Al-Quran ketika ada saudaramara yang meninggal dunia saja, mereka bersedekah sebagai alat mengumpulkan sokongan dan pujian. Dan perbuatan-perbuatan seumpamanya bagaikan mayat yang dihias dengan secantik-cantik perhiasan namun tetaplah tiada serinya. Tiada roh Islam yang mengalir di dalam tubuhnya. Beginikah wajah Islam yang digayakan umat hari ini?

Fenomena sempitnya ibadah dalam pemikiran umat disebabkan oleh faktor yang amat mendasar yang tidak digarap dengan sempurna. Iaitu asas akidah telah dilangkah bahkan dibuang ke tepi semata-mata mahu menanamkan ibadah dalam kehidupan. Sungguh merbahaya jika melaksanakan ibadah tanpa memahami akidah yang sahih. Persoalan mengapa kita mesti beribadah tidak terjawab, kerana aspek keimanan kepada Allah dan Rasul juga masih terlalu susah dicerna oleh pemikiran umat yang sememangnya cetek ilmu. Mereka belum memahami bahawa iman itu menuntut ketundukan dan ketaatan. Sepertimana kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: ”Sesiapa yang tunduk kepada seorang manusia padahal dia membencinya (tunduk dalam keadaan terpaksa), dia tidak dianggap menjadi hamba kepada orang itu. Begitu juga jikalau dia suka kepada seorang manusia tetapi dia pun tidak mahu tunduk kepadanya maka dia bukanlah hamba kepadanya juga.”

Untuk beribadah kita perlukan jiwa hamba yang sedia mencintai Allah, taat dan setia dan menyokong syariat-Nya tanpa memilih yang lain. Aspek akidah sebegini belum betul-betul terpacak dalam peribadi umat. Begitu pula halnya dengan keimanan kepada Rasulullah SAW. Tak hairan bila ditanya kenapa kamu melakukan sembahyang dengan cara dan kaedah yang begitu, ramai yang tak tahu bagaimana cara sembahyang Rasulullah SAW, apa dalil dan sandarannya dia melakukan sembahyang sebegitu? Dia hanya jawab, emak aku ajar begini buat saja lah! Tak payah nak susah-susah menuntut ilmu. Padahal ibadah yang diterima menurut kesepakatan para ulama harus memenuhi dua syarat, iaitu ikhlas dan betul caranya. Betapa pentingnya ilmu dicari kerana tingkat kecintaan hamba kepada Allah dan Rasul-Nya adalah berdasarkan ilmunya tentang Allah dan Rasul. Bukan cuma ikut-ikutan saja.

Jika ibadah dilaksanakan kerana dorongan akidah yang kuat maka ibadah itu mampu melahirkan peribadi yang sempurna. Sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Nur ayat: 51 yang bermaksud: ”Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diseru kepada kitabullah dan sunnah Rasul-Nya, supaya mereka menetapkan Rasul menjadi hakim yang memutuskan hukum diantara mereka. Mereka hanya berkata: Kami dengar dan kami taat. Dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

Alangkah rapuhnya nilai ibadah di dalam diri hamba yang tidak memahami akidah yang sahih. Dia beribadah bersamaan dengan itu dia juga menolak hukum Allah, dia beribadah sekaligus menghina sunnah Rasulullah SAW. Ibadah tidak lebih sekadar aksesori pelengkap untuk mempercantik penampilan, sedangkan jiwanya sudah mati tanpa disedari.

Sumber :- DrJuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes