Keadaan Pada Zahir Cermin Keadaan Hati

Keadaan pada zahir cermin keadaan hati

Oleh: Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Petua orang tua-tua ada menyatakan: “Berhati-hatilah terhadap lelaki kerana matanya dan perempuan dengan gerak tubuhnya.” Percaya atau tidak terpulang kepada pengalaman yang pernah dilalui setiap orang. Bolehkah kita menilai hati seseorang dengan tanda-tanda zahir yang terdedah? Tentunya mustahil menyelami hati budi manusia dengan cara itu. Persoalannya ialah Allah saja yang Maha Mengetahui setiap gerak hati manusia dan tajuk diatas bukan bertujuan untuk menilai orang lain tetapi mengajak kita untuk menilai diri sendiri. Menyelami rasa hati sendiri dan menerokai rahasia peribadi lewat tingkah laku.
Manusia mempunyai dua kategori yang layak menjadi sebutan bagi dirinya. Adakah ciri-ciri ini melekat pada diri kita, hanya kita sendiri yang boleh menjawapnya. Dan orang lain tidak berhak untuk menilai diri kita secara melulu. Kecuali demi kebaikan dan sekadar nasihat pencetus ide yang membina.
Seseorang yang menyimpan dendam terhadap orang lain akan tetapi manis mulutnya dan baik layanannya terhadap orang yang didendamnya, tentunya perbuatannya itu tidak menunjukkan keadaan sebenar hatinya. Orang seperti ini masuk dalam kategori munafik. Tidak ikhlas dan tidak jujur dengan hatinya sendiri. Tetapi sampai bila kebusukan hatinya itu dapat disimpan. Pasti akan terhidu juga segala yang ditutupi.
Kategori yang kedua adalah mereka yang suka berterus terang, benci katakan benci sayang katakan sayang. Antara hati dan perbuatan seiring sejalan. Kejujuran menjadi amalan yang meninggikan maruah diri, mengajar erti berani bertanggung jawap atas semua resiko yang akan dihadapi.
Tetapi benarkah ada kategori ketiga yang berpendapat bahawa ada orang yang hatinya baik walaupun perangai macam hantu. Contohnya orang yang beranggapan bahawa tak mengapa tinggal sembahyang asalkan hati kita baik dan tak berdendam dengan orang. Aurat tak ditutup tak apa asalkan jaga hati, untuk apa tutup aurat tapi hati berbisik-bisik mengata orang. Anggapan-anggapan seperti diatas tentu saja bertentangan dengan ajaran Islam. Kerana Allah SWT akan menilai seseorang berdasarkan amal perbuatan dan gerak hatinya. Kedua elemen ini penting untuk memastikan penghisaban di akhirat nanti akan berjaya. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadisnya: ”Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa parasmu tetapi hatimu dan amal perbuatanmu.”
Jika hati saja yang menjadi penilaian sungguh amat berbahaya kerana manusia akan mengambil kesempatan untuk menghalalkan segala perbuatan kejinya asal hati baik. Bahkan agama kita mengajarkan bahawa segala perbuatan yang dizahirkan adalah cermin hati seseorang. Belum cukupkah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang keadaan hati apabila ia baik maka baiklah seluruh badan (amal perbuatan) dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan.
Bagi kita yang sentiasa melakukan muhasabah diri eloklah teliti apa yang tersimpan di lubuk hati dan senaraikan amal perbuatan yang dilakukan setiap hari. Jika kurang beramal itu tandanya hati tak sihat. Jika tak beradab, tak bersopan santun tandanya hati berpenyakit. Begitu juga sebaliknya, jika banyak sembahyang dan beribadat tapi masih menyimpan bara api dendam pun tak sempurna diri. Kerana Allah menilai hati juga perbuatan. Inilah yang menjana konsep keikhlasan pada diri hamba-Nya.
Kisah seorang ulama besar Fudhail bin Iyadh yang pernah bertaubat dari segala kejahatannya dahulu (beliau diceritakan pernah menjadi perompak sebelum bertaubat), ketika mendengar ayat-ayat Allah dibaca memberi iktibar pada kita bahawa hati yang bertaubat perlu dibuktikan dengan amal perbuatan. Ayat tersebut berbunyi: ”Belumkah tiba masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah dan tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang terdahulu yang telah diturunkan al-Kitab kemudian berlalu masa yang panjang (sedangkan mereka masih belum insaf) lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.” (al-Hadiid: 16)
Menurut Imam al-Tirmizi, hati terbahagi kepada enam kategori.
1. Hati yang hidup iaitu yang penuh dengan iman.
2. Hati yang mati iaitu yang kufur kepada Allah dan segala nikmat-Nya.
3. Hati yang sihat sentiasa taat kepada Allah.
4. Hati yang sakit ialah yang melekat padanya maksiat.
5. Hati yang bangun (terjaga) yang selalu mengingati Allah.
6. Hati yang tidur selalu lalai kepada Allah.

Diantara hamba-hamba Allah ada yang memiliki ketiga-tiga kategori yang paling sempurna iaitu hati yang hidup, sihat dan bangun. Ada pula yang bercampur-campur antara keenam-enamnya mungkin semua ada dalam diri. Mungkin kita yang lemah ini seharusnya sentiasa menilai keadaan zahir melalui cermin hati. Kerana disitulah tempat yang paling jujur dan setia untuk mengetahui siapa sebenarnya kita.

Sumber :- http://drjuanda.com/

Share on Facebook

Ciri-ciri tamadun islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang

Ciri-ciri tamadun islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang


Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Barisan sarjana Barat diantara yang terkenal seperti Thomas Cerlyle, Gustav Le Bon, Oswald Spengler dan terakhir Arnold Toynbee mengambil kesimpulan setelah melakukan kajian terhadap bekas-bekas peninggalan tamadun Islam, mereka menyatakan bahawa perubahan-perubahan hebat yang berlaku ke atas tamadun-taamaun di serata dunia ini tidak terlepas dari pengaruh Islam. Tanpa malu dan segan mereka mengakui bahawa kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di sana. Iaitu berakhir pada 1492 M.

Selepas kewafatan baginda SAW Khalifah Umar al-Khattab memerdekakan Palestin dengan damai. Penyerahan kekuasaan ke atas tanah Palestin dilakukan sendiri oleh uskup tertinggi Nasrani yang rela tunduk dalam pentadbiran kerajaan Islam yang adil dan beramanah.

Belum sampai 50 tahun selepas kewafatan baginda, perjuangan Baginda SAW telah diteruskan oleh generasi Islam yang cintakan agama dan RasulNya. Di Afrika Utara Islam ditegakkan oleh panglima Tariq bin Ziyad. Hingga ke Asia tengah menyeberangi sungai sind dan gangga. Agama Allah dibela oleh seorang pemuda bersama bala tenteranya, ketika itu pemuda yang memimpin tentera itu masih berumur 17 tahun yang bernama Muhammad bin Qasim.

Akhirnya sampai juga cahaya agama Allah ke Eropah, Islam telah berlabuh di sepanyol. Panglima Tariq bin Ziyad telah membakar semangat para mujahaid. Beliau berkata: ”Sesungguhnya lautan berada di belakang kamu dan musuh di hadapanmu. Tiada lagi jalan pulang. Nasib kamu akan ditentukan oleh keberanian atau jiwa pengecut!” Sejak saat itu Islam masuk dan berkembang pesat di bumi sepanyol, hingga saat ini masih ada sisa-sisa masjid berjumlah 1400 buah di Cordova dan istananya yang terkenal diseluruh dunia Al-Hamra di Granada.

Siapakah Muhammad? Kekuatan apakah yang mampu menenggelamkan kuasa kaisar-kaisar dan raja-raja? Tamadun apakah yang mampu mencorakkan sistem dan undang-undang, ilmu dan politik, budaya dan ekonomi, ketenteraan dan kedaulatan umat manusia hingga kini?

Ciri-ciri Tamadun Islam

1. Islam bersifat universal, tidak mengamalkan fanatik kesukuan atau ashabiyah dan menjunjung tinggi sistem keadilan sesama manusia. Tanpa mengira ras dan agama.

Apabila negara-negara di seluruh dunia bersatu dalam wadah pertubuhan bangsa-bangsa bersatu, mereka merumuskan satu deklarasi sejagat yang bercirikan keadilan dan kemanusiaan. Mereka menyebutnya sebagai: Declaration of human rights yang berupaya memberikan setiap individu hak-hak mereka sebagai manusia merdeka seadil-adilnya. Padahal Islam telah lebih dahulu meletakkan keadilan dan kesaksamaan bagi seluruh umat manusia.

Firman Allah Taala:
”Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu dalam agama, dan tiada mengusir kamu dari perkampungan kamu, Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Almumtahinah: 8)

Ajaran Muhammad menolak diskriminasi terhadap non muslim, bahkan haram menyakiti orang bukan Islam yang tidak menentang Islam. Melalui sabdanya Rasulullah menegaskan: Bnarngsiapa yang mengganggu orang zimmi samalah dia seperti menggangguku, dan barangsiapa yang menggannguku maka dia telah mengganggu Allah Taala.” (Hadis riwayat Tabrani)

2. Islam tidak memisahkan agama dari negara. Menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama dari kehidupan.

Sesungguhnya pemikiran dan sikap generasi Islam banyak dipengaruhi oleh persekitaran. Musuh-musuh Islam agaknya telah berhasil menebar racun ke dalam pemikiran umat Islam bahawa sesiapa yang mengamalkan Islam dalam kerajaan dan pemerintahannya maka akan timbul pelbagai konflik keganasan dan kekejaman seperti di Iraq, Sudan, Afganistan dan negara Islam lain yang bergelut dengan konflik politik yang tak berkesudahan. Barat berusaha memburuk-burukkan imej negara Islam dengan kemunduran, keganasan dan kuku besi. Generasi Islam yang celaru dengan keadaan semasa dan hanya memiliki kafahaman Islam yang lemah amat mudah mengikut fahaman musuh-musuh Islam yang menyatakan Islam harus dipisahkan daripada negara dan politik. Mereka meminjam istilah fahaman sekular yang mengajarkan bahawa Agama ini untuk Tuhan dan negara untuk semua. Dengan demikian barulah keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi seluruh umat manusia.

Maknanya apabila Islam dipisahkan dari negara, tiada lagi syiar Islam yang perlu diperjuangkan, biarlah Islam hanya tinggal di masjid-masjid tetapi tidak diamal dalam pentadbiran negara. Sungguh ianya suatu pemikiran yang merbahaya, seperti racun dan bisa yang boleh mematikan cahaya agama Allah di serata dunia. Namun kita boleh berbangga, negara kita telah melakukan lonjakan pemikiran dan perubahan sikap. Ketika gerakan Al-Qaeeda di gembar gemborkan di seluruh dunia, dan Islam menjadi punca ketakutan sejagat, maka Malaysia dengan bangganya menyatakan sikap bahawa kami adalah negara Islam yang bertamadun. Berdiri di atas dunia ini menyambung perjuangan Muhammad SAW yang membawa misi kedamaian ke seluruh alam.

3. Perpaduan Ulama dan Umara, pemimpin dan rakyat untuk merealisasikan cita-cita tamdun Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang.

Sesungguhnya setiap muslim berkewajipan membela agamanya, tidak boleh dipisahkan agama dan negara. Sejarah telah membuktikan wujudnya negara Islam yang pertama di Madinah. Dan pemimpin negara Islam pertama yang bernama Muhammad SAW. Kepemimpinan itu sambung menyambung hingga ke hari ini. Dan setiap pemimpin di negara mana pun yang memiliki satu persepsi dan agenda yang serupa dengan Muhammad SAW maka wajib bagi kita untuk mengasihi dan mantaati kepemimpinannya. Hal ini pernah dinyatakan oleh imam yang agung Ibnu Taimiyah:
dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar’iyah yang menukilkan pendapat ulama salaf seperti Fudhail bin Iyadh dan Imam Ahmad yang menyatakan: ”Jikalau kita memiliki doa yang mustajab nescaya kita akan mendoakan untuk kesalehan para pemimpin.”

Ibnu Taymiyah juga mengulas tentang keagungan peranan dalam memimpin negara, katanya : Wajib diketahui bahawa memimpin manusia adalah kewajipan agama yang paling besar bahkan tidak akan wujud agama dan dunia tanpanya.

Apabila ketiga-tiga ciri-ciri tersebut dapat direalisasikan oleh generasi Islam kini, insya Allah pelbagai konspirasi musuh-musuh Islam dapat diatasi. Islam tidak lemah kerana Allah Taala menciptakannya untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan dan kehancuran.

2. Muslim Produktif

Pernahkah anda berfikir mengapa di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika ramai manusia yang tergerak hatinya mengkaji Islam, fenomena ini terjadi selepas peristiwa tragedi 11 September. Orang yang berjaya dan maju berbondong-bondong masuk Islam tetapi di negara-negara mundur dan miskin ramai orang yang murtad daripada Islam? Mengapa fenomena ini terjadi?

Mereka yang mengkaji Islam telah menemukan ajaran-ajarannya yang bersifat seimbang dan releven. Islam tidak mengharamkan kemodenan, bahkan menjadi penggerak ke arah kehidupan maju dan moden. Tetapi ia juga menyediakan ruang untuk mendidik rohani di tengah-tengah kehidupan yang serba materialistik. Islam bersifat mudah dan fleksibel, tata cara ibadatnya diatur oleh disiplin ilmu yang relevan sepanjang zaman, ianya sesuai dengan tabiat manusia yang memerlukan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan.
Islam membawa fahaman yang universal, tidak jumud dan sama sekali menolak amalan kerahiban. Seorang muslim apabila ia berdiri sebagai imam sembahyang dia juga seorang pemimpin, pentadbir, pejuang dan pekerja yang dedikasi

Sepertimana seorang orientalis terkenal bernama H.A.R. Gibb telah memuji tanpa segan silu tentang ajaran Islam. Beliau berkata: ”Islam bukanlah semata-mata ajaran ibadat dan upacara, bahkan Islam meliputi politik dan kenegaraan, sosial dan ekonomi, undang-undang dan kekuasaan, perang dan perdamaian. Dia adalah satu sistem hidup.”

Inilah diantara daya tarikan Islam bagi orang-orang Barat yang berfikiran maju. Mereka menemukan keselarian antara Islam dan gaya hidup moden yang produktif.

Ciri-ciri produktiviti dalam Islam

1. Islam adalah agama yang meletakkan ibadat dan bekerja sebagai satu visi dan misi kehidupan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud ayat 61. Allah berfirman melalui lisan Nabi Saleh kepada kaumnya. ”Wahai kaumku!, sembahlah Allah yang tiada Tuhan lain bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

Ayat tersebut jelas dan terang menetapkan visi dan misi manusia dicipta iaitu menyembah Allah dan memakmurkan bumi. DR Yusuf Al-Qaradhawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: wasta’maru bermaksud: menuntut supaya kamu membangunkannya, asal tuntutan ini adalah wajib dan jika dilakukan menurut perintah Allah serata menepati syarak maka bekerja memakmurkan bumi ini menjadi ibadat di sisi Allah.

Begitulah Islam menuntut setiap umatnya menjadi seorang muslim yang produktif, melalui lisan Nabi SAW baginda bersabda: ”Jika kiamat telah hampir sedangkan pada tangan salah seorang dari kamu terdpat anak pohon yang hendak di tanamnya maka jika dia mampu hendaklah menanamnya!” (Hadis riwayatAl-Bukhari dan Imam Ahmad)

Betapa agungnya ajaran agama ini, yang mengajarkan kepada kita supaya bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seakan-akan kamu akan mati esok. Jika umat Islam betul-betul komitmen terhadap ajaran Islam maka tidak akan ada orang Islam yang hidupnya merempat, miskin dan tertinggal. Jika sudah dilanda oleh bencana kemiskinan maka menular pula penyakit sosial. Dan kita melihat tidak sedikit orang Islam yang rela anak-anaknya tidak berpelajaran, bodoh dan rosak oleh gejala sosial. Semua ini berpunca dari kemalasan dan gaya hidup tidak produktif.

2. Merancang masa depan wajib di sisi agama

Jabir bin Abdullah berkata, pada suatu ketika kami berada di majlis Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki membawa seketul emas seperti sebiji telur, lalu ia berkata: Wahai Rasulullah SAW ambillah ini sebagai sedekah daripadaku, dan demi Allah aku tidak punya yang selain daripada ini. Tetapi Rasulullah enggan menerima. Kemudian lelaki itu datng lagi sambil menunjukkan seketul emas itu. Baginda pun berkata: Bawalah kemari! Rasulullah SAW mengambilnya dengan bersikap marah lalu dilemparkan ketulan emas itu dengan kuat, jika mengenai lelaki itu pasti terasa sakit di kulitnya. Kemudian baginda bersabda: Adakalanya seorang diantara kamu membawa hartanya semua sekali padahal dia tiada memiliki selain dari itu. Kemudian setelah itu dia berkeliling meminta-minta orang. Ingatlah sesungguhnya sedekah itu dikeluarkan dari harta yang lebih. Ambillah kembali ketulan emas ini, kami tidak memerlukannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Hakim)

Berhabis-habisan mengeluarkan wang belanja sehingga terpaksa meminta-minta kepada orang lain adalah perbuatan yang dibenci Rasulullah SAW. Kita sering mendengar orang yang tidak cukup makan gaji selama sebulan, dan mempunyai tabiat boros dalam

perbelanjaan. Akhirnya terpaksa berhutang dan meminta-minta kesana kemari. Jika merenungi hadis Rasul SAW tadi, jelas dengan tegasnya baginda SAW menegah orang yang tidak merancang kewangannya. Bahkan untuk melakukan ibadat perlu perancangan.

Betapa pentingnya umat Islam merancang kewangan dan mentadbir urus harta benda yang dimilikinya. Supaya umat Islam tidak jatuh ke dalam lembah kemiskinan dan selanjutnya menjadi umat yang lemah dan bergantung dengan orang-orang kafir. Ada setengah-setengah orang Islam yang salah faham di dalam mengamalkan sifat tawakkal dan zuhud. Mereka langsung tidak merancang dan mengurus kewangan peribadi dan keluarga.

Padahal Rasulullah SAW dalam hadisnya menyatakan: ”Daripada Nabi SAW bahawasanya baginda sentiasa menyimpan makanan untuk keluarganya buat masa setahun.” (Hadis riwayat Bukhari)

3. Dedikasi, jujur dan amanah.

Sistem perekonomian yang seimbang sewajarnya diamalkan setiap pekerja muslim yang produktif, seimbang dari segi keupayaan melipat gandakan keuntungan yang sifatnya materialistik dan moralistik yang berpaksi pada iman dan takwa.

Islam mewajibkan setiap umatnya berjuang untuk kemaslahatan umat manusia seluruhnya. Setiap muslim yang produktif bermoral bersih dan amanah. Sabda Nabi SAW: ”Peniaga-peniaga yang amanah dan jujur akan dibangkitkan bersama-sama dengan orang-orang yang mati syahid di hari kiamat nanti.” (Ibnu Majah dan Hakim)

Sumber :- Drjuanda.com

Share on Facebook

Dr Juanda: Melayu pecah kerana ‘gila kuasa’

Dr Juanda: Melayu pecah kerana ‘gila kuasa’

Oleh: NORHASRAM MOHAMAD
5 Mei 2012

KOTA BHARU – Masyarakat Melayu perlu bersatu dalam apa jua keadaan yang mencabar, sebagaimana disaksikan sekarang tetapi sama sekali tidak boleh terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menjadikannya sebagai agenda politik.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, bersatu mesti diusahakan tetapi bebas daripada pengaruh politik kerana parti-parti politik mungkin menggunakan usaha itu untuk kepentingan masing-masing.

Katanya, perpecahan berlaku di mana-mana sahaja kerana ada kezaliman dari satu pihak yang mempunyai kuasa.

“Satu negeri tak diberi royalti, mesti ada pihak yang marah dan ini realitinya, zalim kepada saudara sendiri, puncanya ialah gila kuasa.

“Jangan terpengaruh dengan politik kerana kita semua tahu hala tuju apatah lagi kita ini orang Islam yang mempunyai ajaran yang jelas,” kata beliau yang menjadi ahli panel Wacana D’Raja di Kelantan Trade Centre di sini malam tadi.

Wacana anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu diadakan sempena Karnival Walk With Me yang berakhir hari ini.

Wacana dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia, Datuk A.Aziz Deraman.

Dua ahli panel yang lain ialah Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Johari Mat dan Pengasas dan Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu.

Wacana kali ini membicarakan tajuk “Bersatu Demi Islam”.

Dr Johari pula menegaskan bahawa umat Islam sememangnya boleh bersatu sekiranya meletakkan Islam sebagai asas dan perpecahan berlaku apabila masyarakat Islam meninggalkan ajaran Islam itu sendiri.

“Semua manusia mempunyai destinasi sama iaitu alam akhirat, jadi ia tidak ada sebab untuk umat Islam berpecah, sejarah membuktikan manusia menjadi lemah kerana tidak berpegang kepada agama,” katanya.

Katanya, generasi yang benar-benar memahami Islam sukar dibentuk kerana sistem pendidikan lebih memberi keutamaan kepada fardhu kifayah berbanding fardhu ain sehingga pelajaran agama bukan menjadi syarat lulus dalam peperiksaan.

“Apabila Islam tidak diikuti dengan betul, maka berleluasalah gejala social, ditambah pula penguatkuasaan yang lemah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Melayu diajak bersatu apabila ada desakan dan cabaran dari luar.

“Orang Melayu diajak bersatu bila negara dijajah dan kempen perpaduan juga muncul ketika perayaan tertentu seperti Maal Hijrah dan Maulidur Rasul sedangkan semangat perpaduan sepatutnya sedia tertanam dalam jiwa.

“Kita lebih memberi tumpuan kepada perpaduan nasional berbanding perpaduan Islam sehingga membantutkan usaha ini sehingga kini. Susah sampai masanya idea perpaduan lahir dari sanubari umat Islam itu sendiri,” katanya.

Sumber:- http://www.sinarharian.com.my

Share on Facebook

Anak, menjadi punca turunnya rahmat Allah

Anak, menjadi punca turunnya rahmat Allah

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Setelah hadir beberapa orang cahaya mata di tengah sebuah keluarga yang beriman, kehidupan mereka tiba-tiba berubah. Bagaikan malam disimbah cahaya bulan, bebintang pula menambah cantik lukisan alam yang memukau perasaan. Ayah umpama malam, ibu pula purnamanya dan bebintangnya ialah anak-anak. Anak-anak hanya tahu erti bahagia dan gembira, senyum dan tawa. Begitulah hakikat makhluk Tuhan yang dicipta dan tidak menanggung dosa ini. Anak-anak yang suci dan bersih, belum memahami makna kejamnya dunia. Mereka berada di sisi ibu bapa, menjadi punca turunnya rahmat Allah di dalam sebuah rumah, melimpahlah rezeki dan keberkatan. Sepertimana sabda baginda SAW kepada sahabat baginda yang tidak pernah mencium sepuluh anaknya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak merahmati maka dia tidak dirahmati (Allah).”.

Disebabkan anak-anak, Allah Taala terus menerus mencurahkan pahala dan melipat gandakan ganjaran. Kerana mereka juga banyak dosa yang diampunkan Allah Taala. Atas nama cinta yang tulus kepada mereka ibu bapa menjadi begitu kuat melawan keperitan hidup, kerana wajah mereka ibu bapa menjadi matang dan belajar bertanggungjawab menjadi manusia dewasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Satu dinar yang kamu belanjakan kerana memerdekakan seorang hamba dan satu dinar yang kamu sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Barangsiapa yang sabar menjaga anak-anak mereka dalam kemiskinan sesungguhnya Rasulullah SAW berjanji akan mendekatkan kedudukan mereka di syurga bersama baginda, sesuai dengan sabdanya yang bermaksud: “Seorang perempuan yang telah menjadi janda kerana kematian suaminya tetapi dia bersabar menanggung anaknya, maka aku akan bersama dia di dalam syurga dalam keadaan seperti ini.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oh anak, jika mereka hadir membawa seribu satu berkat, boleh jadi mereka juga membawa fitnah yang paling merbahaya ke atas diri ibu bapa. Untuk itu Al-Quran menyatakan yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim ayat: 6)

Ujian berkeluarga bukan hanya ditanggung oleh suami seorang diri tetapi isteri pula bersama-sama memikul beban yang sama demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Mereka saling berkongsi tanggungjawab mendidik anak supaya menjadi insan yang beriman. Di tangan ibu dan bapalah masa depan mereka terbina, jiwa mereka dicorakkan. Yahudi, Majusi ataukah Nasrani atau mungkin Islam yang menjadi pilihan. Gaya barat atau timur, kapitalis atau sosialis, sekularis atau islamis tulen. Semuanya akibat didikan kedua ibu bapa. Ramai yang beranggapan bahawa anak kita telah dirosakkan oleh persekitaran yang mempengaruhinya. Bukan kerana tangan ibu bapa, bahkan ibu bapa telah memberi didikan sempurna di rumah tetapi di luar rumah dia terpaksa berdepan dengan hawa nafsunya sendiri untuk memilih, manakah yang buruk dan baik?

Persoalan ini tidak berbangkit dan memberi pembelaan kepada ibu bapa yang merasa tidak bersalah, masalahnya selagimana ibu bapa masih hidup mereka wajib mempengaruhi anak ke jalan Allah dan menjaga pergaulan anak-anak mereka. Jika iman telah kukuh dan sebati dalam jiwa raganya hasil didikan ibu bapa, terlepas ke mana saja dia pergi, Insya Allah didikan iman itu masih mempengaruhi keperibadiannya, sedikit atau banyak itu bergntung kepada pihannya sendiri.

Ramai orang tua yang hanya mengingat keburukan anak-anaknya tetapi lupa dosa-dosa mereka kepada anak. Bukankah mereka berdosa kepada anak-anak jika memberi nafkah dari sumber yang haram, walaupun kemewahan boleh diberi tetapi ia hanya untuk kehidupan yang singkat, di akhirat nanti kedua ibu bapa seolah-olah memberi makan bara api kepada anaknya.

Sesungguhnya jika kejahatan yang dilakukan itu diniatkan kerana anak, ia tetap haram di sisi Allah Taala. Rupanya anak boleh menyebabkan seorang hamba bermaksiat kepada Allah. Hal ini jelas diterangkan di dalam surah Al-Taghabun ayat 14 yang bermaksud: “Wahai orang-orang mukmin, Sesungguhnya di antara Isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu.

Musuh bermaksud menjadi punca kamu mengikut kehendak mereka, yang mahukan kamu melakukan pekerjaan yang haram.

Musim cuti sekolah ini, anak-anak mempunyai bermacam-macam perancangan. Hendak pergi ke luar negara, umrah atau menghabiskan masa di rumah saja. Ibu bapa perlu bersedia dari segi kewangan, masa dan emosi. Jika semuanya sudah sedia dicurahkan, ada satu lagi yang tak kurang pentingnya iaitu soalan yang mesti ibu bapa jawap: “Pengisian apakah yang paling baik untuk meningkatkan iman anak-anak?

Selagi Allah Taala memberi masa yang panjang untuk bermesra dengan anak-anak selagi itulah iman harus ditanam. Kekadang yang diingat hanya mahu menyeronokkan hati mereka saja. Maka melimpahlah kasih sayang itu dalam bentuk hadiah yang mahal, percutian yang melalaikan dan kenikmatan berlebihan mengejar kepuasan hati. Bukan bermakna tidak boleh menyediakan fasiliti kelas terbaik kepada mereka, apa salahnya jika mampu selagimana tidak menjejaskan perhatian kepada anak yatim dan fakir miskin di sekeliling kita.

Seelok-eloknya anak-anak diajar prihatin, disuruh melihat anak-anak yang kurang bernasib baik, keluarga-keluarga miskin dan para pesakit kanak-kanak yang terlantar di hospital. Supaya mereka memiliki jiwa pengasih kepada sesama dan tahu menilai erti hidup agar jangan disia-sia. Kita mahu mendengar anak-anak kita berkata: “Terimakasih ayah atas segala pemberian yang tak sanggup kami membalasnya.” Dan kita tidak mahu mendengar makian dan rungutan daripada mulut-mulut yang tidak pernah diajar cara beradab: “Aku mahu yang terbaik, ayah mesti sediakan dan usahakan juga!” Mereka meminta apa yang tidak mampu kita miliki kerana telah terbiasa hidup senang. Padahal masih ramai insan lain menderita. Marilah bukakan mata hati anak-anak kita untuk melihat kehidupan ini dengan pandangan iman bukan mata syahwat sahaja.

Sumber :- http://drjuanda.com/

Share on Facebook

Mendengar Bisikan Hati Menyuburkan Iman

Mendengar Bisikan Hati menyuburkan iman

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Manusia suka mendengar suara hati orang lain, rahsia dan kisah hidup mereka. Tetapi pernahkah seseorang cuba mendengar bisikan hatinya sendiri? Bisikan yang menggema di dalam hati sebenarnya hanya berkisar tentang urusan dunia dan akhirat, yang mana lebih sering kedengaran bergantung kepada pilihan sendiri. Kadang-kadang suara-suara tentang kenikmatan dunia dan kesulitan yang dihadapi untuk menguasainya lebih kuat gemanya berbanding bisikan-bisikan tentang impian indah akhirat atau ancaman azabnya.

Nasib seseorang sesungguhnya amat bergantung kepada kebijaksanaan dalam memilih dua bisikan. Bisikan syaitan ataukah malaikat, bisikan iman atau kufur, takwa atau maksiat. Setiap saat manusia diberi dua pilihan dan diperdengarkan dua bisikan yang silih berganti datang mahu mempengaruhi amal perbuatannya. Sesungguhnya bisikan hati itu pangkal dari kebaikan atau kejahatan. Oleh itu sesiapa yang mampu mengawal bisikan hatinya nescaya dia hanya mengeluarkan tekad, keyakinan dan cita-cita yang baik-baik dan sebaliknya sesiapa yang justeru dikawal oleh bisikan jahat hatinya maka keluarlah niat yang jahat, dosa dan penuh maksiat.

Rasulullah SAW bersabda membenarkan hakikat ini, yang maksudnya: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan telah diwakili bersama-samanya seorang teman daripada jin dan malaikat. Para sahabat bertanya: Walaupun dirimu sendiri wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya, sehingga saya sendiri pun tetapi Allah menolongku menghadapinya lalu dia menyerah diri dan tidak menyuruhku melainkan kebaikan.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Jin dan malaikat sengaja diciptakan untuk seorang manusia sebagai temannya, siapakah yang lebih rapat di hati maka dialah yang menguasai tingkah laku dan amal orang tersebut. Alangkah merbahayanya apabila kita tidak mengendahkan kehadiran dua makhluk ini di dalam tubuh badan kita. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa syaitan mengalir bersama aliran darah anak Adam? Seandainya kita boleh terus beringat dan menegur diri sendiri bahawa ada bisikan-bisikan yang mesti kita pilih dan jangan melupakan pengaruh malaikat dan jin dalam bisikan itu, nescaya kita akan benar-benar berhati-hati melakukan suatu tindakan.

Pergerakan tangan, kaki, mata, telinga dan hati yang memiliki lintasannya harus diwaspadai, adakah ia berasal dari bisikan jin atau malaikat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu mempengaruhi lintasan hati anak Adam dan malaikat juga mempunyai pengaruh. Pengaruh syaitan ialah mengilhamkan manusia supaya melakukan kejahatan dan membantah kebenaran. Adapun lintasan para malaikat ialah mengilhamkannya melakukan kebajikan dan membenarkan kebenaran.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Al-Nasa’I dan Ibnu Hibban)

Untuk memastikan bisikan yang hadir dan kedengaran itu berasal dari bisikan malaikat seseorang dituntut untuk menyibukkan hatinya dengan empat amalan.

1. Dengar bisikan Al-Quran.
Lautan ilmu Al-Quran dan hidayah yang menerangi jiwa belum lagi dihayati sepenuhnya, ramai yang amat menumpukan perhatian kepada tajwid dan alunan suara indah ketika membaca Al-Quran tetapi sayangnya tidak diseimbangkan dengan kajian tafsir seterusnya mengamalkan ayat yang menjadi inspirasi dalam hidup mereka. Al-Quran menjadi bahan bacaan yang menghibur di luar dinding hati namun tidak sampai menyentuh ke dasar hati mereka apatah lagi hingga mempengaruhi pemikiran dan perasaan, semua itu menjadi mustahil kerana kesilapan mengabaikan kajian tafsir. Apabila hati disibukkan dengan mendengar bisikan Al-Quran nescaya yang menemani kita adalah malaikat yang suci. Sejauhmanakah kedudukan Al-Quran dalam kehidupan seharian kita? Adakah kita memberi perhatian istimewa kepadanya seperti kita memberi masa untuk berhibur dan bersantai? Mengapa banyak sungguh masa dihamburkan untuk hiburan dan menyisakan hanya sedikit masa saja untuk Al-Quran? Cukuplah seseorang itu kehilangan bisikan dan ilham Allah jika ia cuai terhadap kalam-Nya.

Satu perkara yang mesti diingat ketika kita sedang mengkaji Al-Quran iaitu sesungguhnya kita sedang menikmati bisikan Allah yang harus diperhatikan dengan tumpuan yang sempurna supaya tidak lenyap dan senyap suara hidayah-Nya dari hati kita. Apabila hati sibuk mendengarkan ayat-ayat Allah apakah mungkin dia berpaling mencari ayat-ayat syaitan? Semua bergantung pada kekuatan iman. Oleh itu mintalah pertolongan Allah agar hati kita dijauhi dari gangguan jin dan syaitan bahkan dari kejahatan hawa nafsu diri sendiri.

2. Dengar bisikan tentang Allah.
Manusia mesti mencari sesuatu dalam hidupnya, mereka mencari kebahgiaan dengan harta, ilmu dan jawatan tinggi dan mereka mampu mencapai impian dengan baik. Tetapi apabila semua telah pun didapat mereka bertambah takut kehilangan nikmat itu dan hati menjadi tidak tenang, takut jatuh dan hilang segala-gala yang telah dimiliki. Semakin kabur jalan menuju kebahagiaan hakiki. Rupa-rupanya harta dan pangkat tak mampu memberi kebahagiaan sebenar bahkan menjerumuskan ke jurang azab dunia yang lebih dalam. Akhirnya mereka menemukan jawapan atas permasalahan yang dihadapi. Saat harta tidak mampu menyelamatkan diri dari penyakit maka mereka kembali kepada Allah yang Maha Menyembuh, ketika pangkat tidak boleh menutupi jenayah mereka dari undang-undang manusia barulah hati mereka tergerak mencari pertolongan Allah Yang Maha Pengampun, hanya Dia yang mampu menutup aib hamba-Nya. Saat-saat genting melihat kelibat malaikat izrail barulah mencari di mana rahmat Allah.

Ketenteraman hati hanya dapat dirasai dengan meletakkan diri, harta dan kedudukan sentiasa berdampingan bersama Allah. Jika diri mahu merasa kuat berdampinganlah dengan yang Maha Kuat, apabila mahu menjadi manusia yang tahan cabaran dan ujian, sentiasa cekal dan tak habis energi memenangi perlawanan dengan syaitan dan hawa nafsu sendiri, maka ambillah kekuatan itu dengan berada di sisi Yang Maha Berkuasa ke atas seluruh makhluk. Ketika kita semakin dekat dan mengenali sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya yang Agung dan perbuatan-Nya yang tidak cacat cela ke atas makhluk, kemudian hati pun tunduk dan mengagumi kesempurnaan-Nya sememangnya kita semakin hampir ke jalan bahagia yang sebenar. Bisikanlah hati supaya mengenali Allah, sebelum anda dibisikkan oleh syaitan yang menakut-nakuti tentang kemiskinan, kerugian dan kejatuhan. Sesungguhnya syaitan mempengaruhi manusia supaya mengikuti pandangannya dan mengambil langkah-langkah yang disyorkannya.

Kemudian setelah mengenal sifat-sifat Allah, nama-nama-Nya yang indah dan perbuatan-Nya terhadap makhluk yang tiada cacat cela, kemudian kita dituntut untuk mendengar bisikan hati tentang kurniaan Allah di sepanjang hidup kita. Ketika kita kerugian harta puluhan ribu dalam satu hari, kadang-kadang kita tak ingat bahawa Allah memberi banyak lagi dari yang diambil-Nya. Semasa anak kita sakit selama satu minggu adakah kita bersyukur kerana Allah telah memberi kesihatan kepadanya selama bertahun-tahun? Banyak lagi perkara-perkara ajaib dan hebat di sekitar kita yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah, jadi takkan cukup masa kita untuk memikirkan tentang Allah. Kerana ilmu-Nya tidak tercapai oleh akal manusia yang terbatas.

3. Dengar bisikan tentang aib diri.
Bisikan yang baik untuk hati manusia ialah suara-suara yang menyatakan aibnya secara telus dan terang. Bisikan ini berasal dari malaikat yang sentiasa mengingatkan banyaknya cacat cela manusia supaya mereka malu dan takut kepada Allah kemudian berusaha memperbaiki kelamahan diri. Adakah sifat-sifat munafik, fasik dan kufur yang membayangi diri kita? Takbur, ego, riyak, dengki masihkah menghiasi hati? Kedekut, tamak, kasar tak beradab, gila kuasa, pemarah dan pendendam masihkah menonjol dalam perbuatan?

4. Dengar bisikan tentang banyaknya kewajipan dan sedikitnya masa.

Dalam keadaan lalai, manusia lupa tentang betapa banyaknya tanggungjawab dan beratnya amanah yang mesti digalas. Sikap suka melengah-lengahkan amal ini pernah dialami oleh seorang sahabat yang tertinggal dalam perang Tabuk bagi melawan bangsa Rom. Ka’ab bin Malik dan dua orang lagi sahabat Rasulullah SAW telah tertinggal dari pasukan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri. Ka’ab menceritakan setelah Rasulullah SAW keluar dari Madinah, dia tertinggal dan setiap pagi dia memasang pelana kudanya dan berkata: Aku akan menyusul mereka, tetapi dia tidak melakukannya, dia berbuat begitu setiap hari sehingga perkara itu berlarutan dan akhirnya dia tidak dapat menyusul tentera Rasulullah SAW. Hal ini merupakan dalil apabila seseorang tidak bersegera melakukan amal saleh dia akan terhalang dari melakukannya, sebab itu Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan (begitu pula) kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al Quran) pada permulaannya, dan kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat.” (Al-An’am ayat: 110)

Ka’ab dan dua sahabatnya dihukum dengan cara dipulaukan selama 40 hari. Sesiapapun tidak boleh bercakap dengan mereka dan menyahut salam mereka. Ditambah hukuman itu sepuluh hari lagi dengan tidak boleh bercampur dengan isteri, sehingga hari yang ke 50 diterimalah taubat mereka dengan turunnya ayat 117-119 surah al-Taubah. Kisah Ka’ab ini memberi pengajaran kepada kita bahawa melengah-lengahkan amal boleh melemahkan tekad dan akhirnya terkubur terus niat mahu melakukan kebaikan.

Ketika hati suka kepada hiburan yang berlebihan, dengarlah bisikan malaikat yang mengingatkan kita tentang sedikitnya masa untuk melaksanakan banyaknya kewajipan sebagai hamba Allah. Hati yang suka mendengar bisikan-bisikan dari langit, bertemankan malaikat yang menasihati kebaikan dan ketaatan adalah hati yang bersih dan layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya.

Sumber :- http://drjuanda.com

Share on Facebook

Memajukan Agama Tanggungjawab Semua

Memajukan Agama Tanggungjawab Semua


Oleh :D r Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Jenayah kemanusiaan yang dilakukan zionis yahudi ke atas kaum muslimin di Palestin telah membuka mata dunia Islam dan mendatangkan keinsafan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan duduk diam sehingga umat ini mengikuti millah mereka. Terjajah, menyerah, mengikut segala kehendak dan taat setia kepada mereka. Tabiat dunia sentiasa bergolak oleh perebutan kuasa, pertumpahan darah, kezaliman dan penyelewengan manusia. Selagimana yang berkuasa adalah orang-orang yang tidak mengenal Allah SWT dan beriman kepada-Nya selagi itu tidak akan aman dunia ini selama-lamanya. Oleh itu, Allah SWT memberi amanah kepada Rasul-Nya dan orang-orang mukmin untuk menegakkan kalimah Allah sehingga tiada lagi fitnah di atas muka bumi ini menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari kekafiran), Maka Sesungguhnya Allah Maha melihat apa yang mereka kerjakan. Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti dari menceroboh), maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” (An-Anfal: 39)

Mengisytiharkan perang dengan kekuatan senjata umpama menjemput kematian ke kubu umat Islam kerana kekuatan orang-orang kafir begitu jauh mengalahkan lawannya. Tetapi amatlah tidak wajar apabila generasi Islam menyerah bahkan langsung menghapus kalimah jihad dalam kehidupan mereka. Kerana janji utama setiap mukmin kepada Allah SWT adalah memperjuangkan Islam dan jangan sesekali mengkhianatinya, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu Mengetahui.” (Surah al-Anfal ayat: 27)

Perjuangan membela agama adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, jika di Palestin kanak-kanak kecil begitu berani melempar batu, dikejar desingan peluru dan dihantui bom-bom zionis yang menceraikan tangan dan kaki dari tubuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Di sini, anak-anak kita sewajibnya belajar bersungguh-sungguh, membina sahsiah diri dan merancang masa depan seraya berjanji dengan ilmu dan kepakarannya nanti mereka akan menolong saudara-saudaranya di seluruh bumi Allah.

Anak-anak adalah pemimpin masa hadapan, merekalah kekuatan umat yang mesti disediakan sebaik-baiknya, sebagaimana suruhan Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Surah al-Anfal ayat: 60)

Dalam merancang kekuatan-kekuatan umat, tidak dinafikan timbul kemelesetan dan penyelewengan dalam perancangan itu. Penyelewengan dalam perjuangan yang menjadi faktor-faktor kelemahan umat Islam telah disenaraikan dalam Al-Quran.

Yang pertama adalah, umat bercerai berai.
Mengapa terjadi fitnah ini sehingga melemahkan kekuatan umat? Punca perselisihan dan bercakaran sesama sendiri adalah kerana tiada kesatuan matlamat dalam perjuangan. Dunia dan hawa nafsu telah merosakkan keikhlasan umat, ada golongan yang berjuang kerana hendak mendapat habuan dunia sementara golongan yang ikhlas terganggu tumpuan mereka yang seharusnya membuat perlawanan ke atas orang kafir, akhirnya mengalihkan serangan itu kepada saudaranya yang berlainan visi dan misi. Fenomena sebegini telahpun dirasai Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda menghadapi golongan munafik. Dengan kecekapan baginda SAW gangguan-gangguan kaum munafik dapat diatasi dengan baik oleh baginda. Rasulullah SAW amat menumpukan usaha pembentukan kesatuan dan perpaduan orang-orang yang beriman. Kepentingan membentuk keimanan dalam barisan generasi-generasi pejuang ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungidan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, Maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah (akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan. Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar.” (Surah al-Anfal ayat: 72-73)

Iman dan hijrah yang memberi semangat perubahan ke arah kecemerlangan serta jihad menjadi tiga elemen penting yang boleh menyatukan umat kearah misi dan visi yang satu.

Kemudian yang menjadi punca kelemahan umat Islam yang kedua adalah maksiat dan kemungkaran yang menjadi penyakit dalam tubuh umat.

Maksiat menyebabkan manusia lupa diri, berpaling dari sisi Allah dan menjadi sebahagian ahli keluarga syaitan yang suka melakukan kerosakan. Maksiat akan terus hidup dengan subur jika tiada usaha-usaha mencegahkanya daripada merebak ke dalam tubuh umat. Sebagaimana kisah kaum terdahulu, bagaimana Allah menimpakan azab ke atas mereka kerana kemungkaran yang dibiarkan berleluasa. Umat Islam menghadapi tantangan sebegini pada hari ini, maksiat yang dilakukan orang Islam kadang-kadang lebih teruk dibandingkan kejahatan orang kafir. Begitu cepatnya iman mereka berubah, sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir. Atau seseorang yang beriman di waktu petang kemudian esok harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jika kemunkaran dan maksiat telah menjangkiti tubuh umat Islam, mereka hidup sebagaimana orang kafir yang tiada bezanya antara mereka maka sedikit-demi sedikit nilai-nilai Islam itu hilang dari keperibadian generasinya. Perasaan, pandangan dan pemikiran mereka sama seperti orang kafir tiada langsung roh Islam yang masih tinggal dalam hati mereka. Akhirnya mereka tidak mengenal apa erti membela agama, menghayati ajaran Islam dan bahkan dicampakkan saja Al-Quran dan hadis itu sebagai kitab peninggalan kuno yang disimpan dalam muzium sejarah mereka. Alangkah mudahnya mengalahkan umat Islam tanpa melakukan serangan fizikal dan persenjataan yang berbilion-bilion harganya. Cukup dengan menyebarkan virus-virus maksiat dalam generasi Islam pasti mereka akan menyembah berhala-berhala moden yang bernama hawa nafsu lantas dengan begitu senangnya jiwa mereka mati sebelum jasadnya.

Yang ketiga menyebabkan umat lemah adalah kebodohan.
Bangsa-bangsa maju di dunia ini telah jauh berlari ke hadapan meneroka hingga ke angkasa lepas semata-mata mahu menaklukkan bumi di bawah kekuasaan mereka. Sedangkan umat Islam masih di situ, mengharap kekayaan bangsanya yang terpendam di bawah tanah diambil sedikit demi sedikit untuk menghidupkan anak cucunya dan menjadi Negara-negara konsumen yang paling tinggi daya belinya kepada Negara kafir. Jika berduit pun tetapi tiada ilmu apa akan jadi dengan generasi yang akan datang? Sudahpun begitu masih juga bersikap sombong tidak mahu belajar dan hanya berharap dari kekuatan yang sedikit saja. Pendidikan belum lagi menjadi agenda yang pertama dan utama hal ini merangsang tumbuhnya benih-benih kemiskinan di dalam Negara-negara Islam. Apabila ketiga-tiga faktor tadi masih membelenggu tubuh umat Islam tidak mustahil mereka masih terus terjajah dan terpecah menjadi bangsa yang mundur selama-lamanya.

Sumber :- DrJuanda.com

Share on Facebook

Merubah Nasib, bukan terserah nasib

Merubah Nasib, bukan terserah nasib

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Hari ini ramai yang menyambut hari kelahiran dengan penuh kesyukuran. Akhirnya satu tahun lagi peluang hidup berkurang. Entah tinggal berapa tahun baki yang masih ada. Rahsia yang Maha Kuasa tiada siapa boleh menembusi ruang-Nya. Ajal, jodoh, rezeki dan titik akhir yang menjadi penentu bahagia ataukah sengsara menjadi persoalan yang tak mungkin terjawab. Saat menyambut hari bahagia setiap tahun apakah hadiah yang paling berharga untuk diri anda? Menghadirkan keinsafan tentang nasib diri yang masih menjadi rahsia Tuhan lebih bernilai dari apa-apapun di dunia ini.

Rasulullah SAW mengingatkan kita agar sentiasa gerun memikirkan misteri qadak dan qadar menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang terkumpul kejadiannya dalam perut ibu selama empat puluh hari berupa mani, kemudian empat puluh hari berupa darah, kemudian berupa daging seperti itu juga. Lalu diutus malaikat meniup roh di dalamnya dan diperintahkan mencatat empat perkara iaitu; Rezeki, ajal, amal perbuatan dan nasib sial atau untungnya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang itu adakalanya melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dia dan syurga hanya selangkah sahaja. Maka sesungguhnya telah tertulis di dalam Kitab dan dia berubah melakukan perbuatan ahli neraka sehingga masuk ke dalamnya. Dan seseorang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga tidak jauh jarak antara dirinya dan neraka melainkan selangkah saja, maka telah tertulis dalam catatan Kitab dia melakukan amal ahli syurga dan masuk ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kalaulah kita boleh memilih, hadiah apakah yang paling istimewa dalam hidup ini? Semua orang mahu menentukan takdirnya selamat dunia akhirat, kaya dan bahagia, sihat dan sejahtera. Berakhir di pintu-pintu syurga dengan kenikmatan abadi. Tetapi Allah Taala menciptakan manusia dengan pakej-pakej ujian sebelum dia layak masuk ke syurga-Nya. Tiada siapa yang terlepas daripada cubaan iman termasuklah para Nabi dan Rasul.

Hakikatnya iman sentiasa berubah-ubah mengikut pilihan hati manusia. Demi menyelamatkan umat manusia dari kejahatan diri mereka sendiri, maka Allah Taala menyinari seluruh alam ini dengan cahaya iman. Cahaya Allah itu seolah-olah energi positif yang memberi kekuatan pada diri kita. Jika setiap tahun anda mempunyai azam yang hebat untuk mempertingkatkan diri dan cita-cita yang belum terealisasi, agaknya anda memerlukan cahaya Allah yang lebih terang untuk membangkitkan semangat hidup anda. Itulah hadiah harijadi yang paling berharga.

Mencari energi positif
Suatu ketika anda berjumpa dengan fenomena pelik yang menyimpan kenangan sepuluh atau dua puluh tahun lalu, berjumpa teman-teman sekolah yang membawa kejutan-kejutan perasaan di hati anda. Takjub dan hairan, mengapa lelaki ini boleh berjaya mengatasi anda padahal semasa bersekolah dialah yang paling bermasalah. Ada juga yang semasa bergaul dengan anda dahulu dialah yang paling hebat dan bergaya. Bijak lagi rupawan tapi sayang nasib telah menghempas dirinya ke suatu alam ganjil yang tak pernah terbayangkan oleh sesiapapun yang mengenalinya suatu ketika dahulu. Dia telah berubah menjadi lelaki tidak berguna yang membawa masalah kepada sesiapa yang bergaul dengannya. Semua atas pilihan masing-masing. Ke mana anda hendak membawa diri. Allah Taala tidak akan menolong sesiapa yang tak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai. Sepertimana kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab tentang takdir manusia; ”Sesungguhnya kita berlari dari takdir buruk kepada takdir yang baik.” Semua itu rahsia Allah SWT. Anda masih mampu merubah takdir buruk menjadi yang baik atas izin Allah Taala.

Manusia tak ubahnya seperti sampan yang dipermainkan gelombang. Selain mesti berusaha mencapai bibir pantai idaman yang menjanjikan kedamaian, dia juga pasrah kepada nasib yang berpaut pada kuasa Tuhan. Ketika ribut badai melanda dia terpaksa berjuang sambil berharap rahmat-Nya turun membawa ketenangan. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki energi positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya. Energi positif itu telah merubah seorang yang tidak dikenal dan bukan siapa-siapa menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah-tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya sehingga dia mampu melepaskan diri dari belenggu kemiskinan yang telah diwariskan secara turun temurun. Energi positif itu seolah-olah bisikan Tuhan yang mengusik air mata taubat para penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang-orang mulia lagi warak.

Jika manusia telah kehilangan energi positif ini seolah-olah dia telah menjadi mayat sebelum dicabut rohnya. Hidup tidak berguna sama sekali, ada dan tiadanya tidak memberi kesan kepada alam maya ini. Di manakah kita boleh menemukan energi positif itu? Ia berada pada Yang Maha Kuasa yang mengajar kepada kita tentang bagaimana menghadapi kesulitan dengan rasa gembira. Dan memberi pencerahan dalam pemikiran insan sehingga kita mampu membezakan mana yang haq dan mana yang batil. Bukan setakat itu sahaja kita juga berani membuktikan bahawa kita mengambil jalan yang hak.

Apabila kita memiliki energi positif ini, berbahagialah orang-orang di sekeliling kita. Mereka rasa selesa berdampingan dengan kita. Adaptasi sosial yang kita jalinkan begitu indah dan kemas, jauh dari penyimpangan yang menyakitkan hati. Begitulah gambaran seorang mukmin menerusi sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Mukmin yang terbaik adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain.”

Seperti seorang bapa yang memegang tangan anaknya dengan lembut, matanya yang redup menitipkan semangat positif ke jiwa si anak, ibunya pula mengungkapkan bahasa indah mengandungi hikmah dan nasihat mengiringi langkah-langkah kecil anak-anaknya menghirup khazanah ilmu. Seperti seorang yang sakit dan diramal tak akan dapat disembuhkan lagi, energi positif itu telah membangunkan jiwanya yang masih menyimpan kekuatan untuk menghabiskan sisa hidup dengan amal yang bermanfaat bagi orang lain. Setiap saat menjadi peluang untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah Taala dan manusia di sekelilingnya.

Sesungguhnya energi positif itu berasal daripada kuasa Allah Taala. Yang membuka mata hati kita sehingga mampu melihat hikmah kebaikan di bawah tompokan ujian kehidupan. Membuat anda mampu tersenyum, memujuk hati yang luka dan melupakan rasa sakit yang menghiris-hiris kalbu. Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah SWT agar diberi energi positif yang berasal daripada Nur Allah Taala. Dalam doa baginda memohon kepada Allah agar menghapuskan kesedihannya kerana penghinaan dan kekejaman yang dilakukan penduduk Taif. Baginda SAW berdoa yang bermaksud: ”Aku berlindung kepada Nur Wajah-Mu yang mulia yang memberi cahaya kepada langit dan bumi dan yang menyinari segala yang gelap-gelita. Dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.”

Jika hati telah diterangi oleh cahaya Allah SWT, serta merta kekuatan itu bangkit dan menghidupkan jiwa raga kita. Di manakah cahaya Allah itu dan bagaimana seseorang memperolehinya? Kita sambung perbincangan ini minggu hadapan Insya Allah.

Sumber : Drjuanda.com

Share on Facebook

Hakikat Ilmu Mencambahkan Iman

Hakikat Ilmu Mencambahkan Iman

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Suatu hari ketika seorang hamba membuka sebuah buku yang membincangkan tentang Iman, tanpa disengaja tajuk tentang taubat menjadi pilihannya. Hatinya bekerja keras untuk menghayati setiap perkataan yang dibaca dan akal berfikir tentang kebenarannya. Akhirnya dia berkata: “Alangkah, jauhnya penyelewengan yang telah aku lakukan setelah Allah Taala memberi petunjuk kepadaku suatu masa dahulu.” Tetapi dalam penyesalan itu muncul satu kesyukuran yang terbit daripada hidayah Allah SWT, bahawa betapa beruntungnya dia mendapat kembali hakikat ilmu yang telah lama hilang daripada jiwanya. Ada sedikit kebenaran pada perkataan sebahagian ahli makrifah yang bermaksud; Ketika seseorang itu jatuh melakukan dosa, janganlah dia berputus asa dari rahmat Allah SWT, tetapi bersyukurlah kerana daripada perlakuan dosa yang disedari itu, lahirlah penyesalan dan taubat. Kerana dosa yang disedari ini manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dosa itu membuatnya menjadi hamba yang cepat bertaubat dan mengakui kelemahan diri di hadapan Allah. Lalu dia sentiasa berhati-hati dalam segala perbuatannya. Berbanding dengan seseorang yang merasa tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa merasa dirinya betul, sungguh orang seperti ini bertambah jauh dirinya daripada Allah akibat kesombongan yang melampau atas nama ilmu dan amal.

Setelah menyedari keadaan seperti ini, barulah kita sedar betapa kita perlukan ilmu yang boleh membawa kita kepada kefahaman dan penghayatan yang sebenar tentang diri kita, tentang Allah dan tabiat dunia yang fana ini. Hakikat ilmu itu, ia datang dan pergi, sehingga Rasulullah SAW pernah mengingatkan para sahabat baginda dengan satu perumpamaan yang bermaksud; Ikatlah ilmu itu kerana ia terlalu cepat hilang berbanding unta yang terikat. Maknanya setiap insan mesti menyediakan masa untuk hati dan akalnya berinteraksi dengan ilmu. Sesiapapun yang meninggalkan ilmu dalam masa satu hari saja boleh jadi dia akan mengalami gejala kelalaian hingga mungkin jatuh ke lembah kesesatan apabila hal ini berlanjutan sekian lama. Matlamat manusia mencari ilmu ialah untuk mencapai satu keyakinan tentang kebenaran, setelah yakin barulah timbul penghayatan yang membawa kepada ketundukan jiwa.

Ada orang berkata; “Tak payah bacalah, sebab kami sudah membaca dan mengetahui ilmu ini.” Memang benar kita sudah faham dan tahu tentang hal itu tetapi apakah kita telah mencapai penghayatan yang sempurna? Apakah boleh dipastikan ilmu itu sentiasa melekat di hati dan memacu diri kita untuk sentiasa merapatkan diri dengan Allah Taala?

Seseorang pasti memahami perbezaan dirinya ketika dia sedang minat membaca atau ketika suka membuang masa. Tentulah berbeza keadaan jiwa dan perasaan orang yang suka menelaah, mengkaji dan membahas tentang ilmu berbanding orang yang suka termenung dan mendengar hiburan.

Mungkin kita perlukan pendedahan tajuk ilmu yang sama pada masa-masa tertentu, seperti saat kita sedih ditimpa musibah, pilihan tajuk tentang sabar dan syukur adalah sesuai di kala itu. Kalau rezeki bertambah atau naik pangkat tentu pendedahan tentang alam akhirat mesti lebih difokuskan supaya diri tidak tenggelam dalam nikmat dan tipu daya dunia. Apabila kurang nikmat ibadah, tidak khusyuk dan rasa keras hati eloklah kita ingat tentang ilmu zuhud dan mengingati mati. Namun demikian segala ilmu berpusat pada induknya iaitu Al-Quran dan Hadis. Barangsiapa yang menginginkan kesempurnaan ilmu mestilah mendekatkan diri kepada keduanya.

Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai Ahli kitab, Sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah ayat: 15-16)

Bagaimana pula halnya dengan orang-orang yang telah mencapai darjat alim yang tinggi? Adakah perlu baginya membaca dan menuntut ilmu lagi selepas kedudukannya itu? Alangkah baiknya jawapan al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah, ulama Tabi’in tersohor pada zamannya apabila ditanya tentang hal ini: “Siapakah manusia yang paling berhajat kepada ilmu? Beliau berkata: Orang yang paling alim di kalangan mereka. Beliau ditanya lagi: Mengapa begitu? Dijawabnya: Kerana kesalahan orang yang alim dalam ilmunya lebih jahat dan teruk berbanding orang jahil.”

Orang yang pandai membeza antara yang haq dan batil tetapi dia memilih yang batil kerana hawa nafsunya tentu amat besarlah dosa yang diperolehnya kerana dia telah melanggar larangan Allah SWT, bukan kerana jahil tetapi “terlalu cerdik” sehinggakan akalnya mahu berdolak-dalih untuk menghalalkan apa yang nyata haram di sisi agama, semata-mata menurut hawa nafsu manusia. Bukan setakat itu saja dia pula mengajak orang lain melakukan jenayah yang sama atas nama kecerdikan dan kewarasan yang palsu. Jelaslah betapa bahayanya orang alim yang melakukan kejahatan dengan jenayah ilmunya yang tidak dipraktikkan semata-mata kerana mahu mengikut hawa nafsu manusia.

Sungguh pelik, orang yang telah jauh dan mendalam ilmunya tentang Allah SWT tetapi sekelip mata boleh berpaling daripada-Nya. Mereka adalah orang yang mengenal kejahatan syaitan tetapi sebaliknya boleh terpedaya menjadi pengikut syaitan. Mereka adalah orang yang mengenal tipu daya dunia tetapi rela menjadi hamba dunia yang hina. Di situlah letaknya kelemahan manusia, setinggi mana ilmu didapat namun jika hidayah Allah SWT tidak bersamanya maka segala kefahaman agama dan penghayatan hakiki, segalanya menjadi sia-sia. Di dalam keghairahan menuntut ilmu, janganlah dilupa memohon petunjuk dan hidayah Allah Taala adar ilmu itu bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Kerana ilmu yang telah terpahat dalam ingatan dan hati sanubari tidak dijamin dapat kekal selamanya melainkan atas kuasa Allah Taala yang Maha memberi petunjuk. Adakalanya seseorang itu tidak mendapat hidayah daripada ilmu yang dituntutnya, belajar mengaji bertahun-tahun tetapi perangai tak berubah-ubah, akhlak dan ibadatnya masih seperti ketika dia tidak berilmu. Jadi untuk apa letih-letih mencari ilmu jika tiada penghayatan? Ada pula orang yang belajar hanya setakat ilmu Taharah sahaja, selama bertahun-tahun diulang-ulang lagi tanpa ada peningkatan. Takkan nak main air saja, bila lagi masa untuk belajar sembahyang yang khusyuk, memahami doa yang dibaca, belajar Tafsir Al-Quran dan mengikuti al-Hadis? Akhirnya orang ini tak sampai pada tujuan yang sebenar kerana hampir tiada peningkatan iman yang ketara.

Pelbagai kaedah dan cara manusia menuntut ilmu. Pada hakikatnya yang terpenting ialah wajib mengikut cara dan kaedah yang dicontohkan oleh baginda SAW. Pendedahan tentang dalil-dalil yang kuat dan wajib diterima hanya bersandar dari Al-Quran dan al-Hadis serta ijmak dan qiyas yang disepakati. Ini hendaklah menjadi syarat kebenaran sesuatu ilmu untuk diterima dan diamalkan. Adakah jalan yang lebih baik daripada jalan yang pernah Rasulullah SAW tempuhi? Apakah ada sumber wahyu lain selain jalan baginda SAW? Ilmu tanpa dalil yang sahih dan hanya menyandarkan kepada sangkaan-sangkaan dan pendapat yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Hadis adalah ilmu yang wajib ditolak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kami yang bukan daripadanya maka ia tertolak.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Terlepas daripada kontradiksi atas setiap isu yang diketengahkan di medan ilmu dan ulama, selayaknya setiap penuntut ilmu memiliki budi pekerti umpama serumpun padi yang sifatnya semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Ilmu yang benar pasti melahirkan jiwa hamba. Tiada kata tamat dalam proses mencari ilmu. Al-Imam Ibnu Abdul Barri meriwayatkan daripada Abu Ghassan, katanya: “Kamu sentiasa menjadi alim selagimana kamu tetap menuntut ilmu, apabila kamu merasa cukup maka sesungguhnya kamu telah menjadi jahil.”

Kerana perjalanan mencapai reda Allah Taala tiada penghujungnya, jalan ke sana amatlah jauh. Bagaimana mungkin seseorang boleh berkata: “Telah cukup ilmuku dan telah baik amalanku.” Padahal perkataan itu umpama rantai yang mengikat kakinya ke bumi sehingga dia tidak akan sampai ke destinasi yang dijanjikan Tuhannya.

Sumber : Drjuanda.com

Share on Facebook

Keikhlasan Memperjuang Islam

Keikhlasan Memperjuang Islam

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Umar bin al-Khattab adalah seorang pemimpin ulung dan khalifah ternama yang mencatat sejarah sebagai pemimpin utama umat manusia. Ketika menjadi khalifah, beliau berjumpa dengan seorang peminta sedekah yang telah tua dan lemah dari bangsa Yahudi. Beliau terkejut kerana mendapati wujud di kalangan rakyat jelatanya peminta sedekah yang tidak berdaya. Beliau pun bertanya: “Mengapa orang tua ini meminta sedekah?” Lelaki itu menjawab: “Saya adalah pembayar jizyah, wahai Amirul Mukminin.” Mendengar keluhan Yahudi itu Umar terus memerintahkan pegawai kewangan Baitul Mal: “Tidak patut sungguh! Pada waktu muda tenaga orang ini ditumpahkan untuk mencari nafkah hidupnya dan jizyah pula sentiasa dia bayar. Sekarang dia telah tua, maka mengapa kita biarkan dia meminta sedekah. Mulai sekarang hapuskan namanya daripada senarai orang yang dipungut jizyah, lalu pindahkan namanya ke dalam senarai orang-orang fakir miskin yang berhak menerima zakat.”

Adil, rahmat dan toleran. Begitulah seharusnya gambaran Islam apabila ia menjadi dasar pada sebuah Negara. Prof Yusuf al-Qaradawi dalam ‘Al-Khasaisul Ammah Lil Islam’, memberikan pandangan yang lebih luas tentang karakteristik Islam yang merangkumi beberapa nilai-nilai yang utama iaitu nilai ketuhanan, kemanusiaan, universal, moderat dan gabungan transformasi dan konsistensi dalam seluruh ajarannya.

Nilai ketuhanan bermakna segala fahamannya tidak terlepas daripada bimbingan wahyu, kemudian nilai kemanusiaan yang membawa ajaran mengakui dan membela hak asasi manusia sejagat, adapun ciri yang ketiga ialah agama ini memiliki nilai universal iaitu mengatur segenap sistem hidup manusia secara lengkap bukan hanya aspek ibadah saja yang diutamakan tetapi juga sistem politik, ekonomi, sosial, ilmu dan teknologi serta kedaulatan negara dan kekuatan jihad juga diatur dengan sempurna. Yang keempat ialah Islam bersikap moderat, adil dan seimbang berlainan dengan fahaman-fahaman yang dibuat manusia seperti fahaman sosialis yang menghapuskan hak-hak setengah golongan daripada setengah yang lain ataupun fahaman kapitalis yang membebaskan golongan yang kuat memperhamba yang lemah. Islam juga bercirikan transformasi yang dipadu dengan kekuatan konsistensinya terhadap nilai-nilai wahyu. Islam menerima perubahan dan penggabungan nilai-nilai lama dan baru dengan syarat ianya tidak merosak syariahnya yang suci kerana yang menciptanya adalah Allah Yang Maha Suci dari kecacatan.

Islam yang cantik, ideologi yang sempurna, doktrin yang efektif, fahaman yang relevan! Tetapi sayang, ramai orang di luar Islam yang telah diberikan gambaran teruk tentang agama ini, gerak kerja orientalis yang bersepadu telah berjaya menconteng arang ke wajah sejarah Islam ditambah lagi dengan pengaruh media masa kini yang dikuasai kebencian terhadap Islam dan sumbangan besar daripada serpihan-serpihan kumpulan radikal yang mengatas namakan Islam sebagai alat untuk kepentingan peribadi dan golongan yang jelas-jelas bercanggah sama sekali daripada sistem Islam yang suci telah berjaya mencorotkan kedudukan agama kita dari mata dunia.

Jangan salahkan Islam tetapi peribadi yang membawa nama Islam itu yang sebenarnya menjelekkan lagi wajah agama Allah ini. Islam tetap suci tetapi perbuatan seorang muslim yang sepatutnya mesti disucikan kerana mengotori Islam. Banyak sungguh yang menggunakan nama Islam untuk kepentingan peribadi, akibat dari kejahatan ini maka orang-orang komunis berpendapat agama itu candu bagi manusia. Sedangkan yang sekular amat benci mendengar sistem Islam cuba diterapkan dalam ekonomi, politik dan sebahagian aspek kehidupan lainnya mereka mahu memisahkan agama dari kepentingan dunia. Apakah kejahatan yang lebih dahsyat pada agama ini selain mengambilnya jika mendatangkan keuntungan dan membuangnya jika dilihat menjejaskan kepentingan hawa nafsu?

Keuntungan yang didapat dari penjualan nama agama ini bukan dilakukan oleh ahli-ahli perniagaan atau politik sahaja tetapi juga para pendakwah yang mengambil peluang duniawi dalam dakwahnya. Ada yang meminta bayaran untuk khidmat membaca Al-Quran bagi arwah orang yang telah meninggal, kalau begitu bolehlah syurga itu dibeli untuk orang yang sudah mati, asalkan ada duit semuanya boleh diatur?! Amalan-amalan yang langsung tiada sandaran daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW semakin subur. Menambah cela di wajah agama ini. Semua itu kerana desakan kepentingan peribadi, erti keikhlasan menjadi persoalan adakah memperguna agama boleh diterima sebagai usaha meninggikan kalimah Allah?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukuman ke atasnya pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Dia dihadapkan kepada Allah kemudian Allah Taala mengingatkannya akan nikmat yang pernah dikurniakan sewaktu di dunia, maka dia pun mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan dengan nikmat yang telah Aku berikan kepadamu itu? Dia menjawab: Nikmat itu telah saya gunakan untuk berperang kerana membela agama-Mu sehingga aku mati syahid. Allah Taala berfirman: Engkau bohong, sebenarnya engkau berperang dengan matlamat supaya engkau dipuji sebagai pemberani dan telah pun dikatakan orang begitu kepadamu.” Orang itu kemudian diheret wajahnya dan dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jika orang yang syahid saja dipersoalkan matlamat jihadnya padahal dialah yang dipuji sebagai pahlawan dan pemberani, bagaimana pula dengan orang yang dicela kerana dengan terang-terangan merompak agama ini dan memperguna Islam demi kepentingan peribadi? Namun demikian kita tidak menafikan masih ada yang memiliki setulus-tulus keikhlasan di dalam memperjuangkan agama.

Allah Taala berfirman tentang karakter umat yang bersih dari segala kepentingan diri, yang bermaksud; “Katakanlah: “Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Sifat yang paling menonjol dari dalam diri mereka berjuang ikhlas untuk Islam ialah mereka mahukan perubahan ke arah kebenaran, suka menyebarkan amar makruf dan bergiat aktif menegakkan nahi munkar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihat kemunkaran hendaklah ubah dengan tangannya, Jika dia tidak kuasa maka ubahlah dengan lidahnya. Barangsiapa yang tidak kuasa dengan lidahnya hendaklah ubah dengan hatinya, itulah selemah-lemahnya iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Imam Hasan Al-Basri berkata: “Tidak sedikit orang yang mati syahid tetapi bukan di medan perang melainkan di atas katilnya. Iaitu orang yang terus menerus bekerja keras melaksanakan kehendak Allah dan Rasul-Nya dengan menyampaikan dakwah, mempergunakan peluang, atau kekuatan dan kekuasaan yang ada padanya. Sehingga tegaklah kalimah Allah.”

Sumber :- Drjuanda.com

Share on Facebook

Energi Positif berasal daripada cahaya Allah Taala

Energi Positif berasal daripada cahaya Allah Taala

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Seorang sahabat saya telah diuji dengan musibah yang amat perit kalaulah diri saya yang menanggung derita itu rasanya tak akan sanggup jiwa raga ini merasai apa yang beliau rasa. Terpaksa menerima kenyataan bahawa beliau bersalah diatas kematian isteri tercinta dan bayi yang dikandungnya. Dalam suatu kemalangan yang menyelamatkan dirinya seorang dan melihat sendiri bagaimana janin yang dikandung sang isteri itu bergelut dengan maut setelah ibunya menghembuskan nafas yang terakhir. Tak dapat dibayangkan kesedihan yang terpaksa ditanggung bertahun-tahun. Lelaki ini menjauhi sahabat-sahabatnya, mengubur segala kenangan tentang masa lalu dengan cara menggilai pekerjaannya, menyibukkan diri berkhidmat untuk masyarakat, menyendiri dalam kesibukan dan tak mahu peduli dengan kegembiraan orang lain. Dia seolah-olah menghukum diri selama-lamanya kerana tragedi itu.

Kemudian saya berfikir walaupun orang-orang yang mengasihinya berusaha membuat beliau bergembira jika bukan atas usahanya sendiri dan kuasa Allah semua itu akan sia-sia belaka. Tempat segala rasa itu adalah hati, sedih dan gembira, merana dan bahagia silih berganti datang dan pergi. Siapakah yang mampu memancarkan cahaya kegembiraan dan kebahagiaan dalam hati kita jika bukan Allah Taala? Manusia mencari jalan keluar daripada masalah dengan bermacam-macam terapi yang boleh menyembuhkan dalam masa singkat tetapi akhirnya kembali dalam kesedihan berpanjangan. Sesungguhnya mereka memerlukan cahaya daripada kuasa Allah yang merupakan energi positif pembangkit semangat.
Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

”Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada Pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-Nur ayat: 35)

Hamka berkata dalam tafsir al-Azhar, ketika mengungkap rahsia ayat diatas.
”Bukanlah (yang dimaksud ayat ini) langit dan bumi menghasilkan suatu cahaya yang bernama Allah. Tetapi wujudnya Allah Taala memberi cahaya kepada semua yang maujud ini. Matahari dan bulan beredar menurut falaknya, tidak pernah terjadi kekacauan kerana ada kuasa tertinggi yang memberi semangat padanya.”

Seperti alam maya ini, wujudnya manusia juga memerlukan cahaya Allah untuk menjadikannya hidup teratur, bahagia dan selamat sejahtera. Walau bagaimanapun bukan semua manusia mampu menikmati cahaya Allah ini. Manusia memerlukan cermin hati yang boleh memantulkan cahaya itu ke seluruh jiwa raganya. Cermin hati itu harus digosok selicin-licinnya seperti permata apabila tidak digosok tak kan dapat menyerap cahaya dengan sendirinya. Suram saja kelihatan dan tiada kilauan yang memukau mata memandang.

Memang cahaya Allah sentiasa memancar ke segenap penjuru alam tetapi hanya insan yang terpilih mampu menangkap keindahan cahaya itu. Maknanya energi positif yang memancar daripada cahaya Allah hanya akan dapat diserap oleh hati yang bening, suci dan ikhlas. Allah Taala telah menyinari seluruh alam dengan petunjuk hidayah-Nya namun hanya orang-orang yang mahu mengambil hidayah itu sebagai jalan hidupnya yang akan selamat. Sepertimana perjanjian syaitan yang termaktub dalam Al-Quran untuk selama-lamanya mahu menjadi musuh manusia supaya mereka melencong dari jalan hidayah.

”Iblis menjawab: “Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan. Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh. Iblis menjawab: Karena Engkau Telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (Surah al-A’raf ayat 14-16)

Orang yang mendapat cahaya Allah tentu berbeza daripada mereka yang hidup tanpanya. Kita juga mampu membezakan saat diri dalam kegelapan berbanding ketika hati terang, bersih dan suci. Amal perbuatan yang berasal dari hati cuba menunjukkan kepada kita adakah kita tersesat atau istiqamah di atas jalan Allah Taala. Beruntunglah orang-orang yang mempergunakan mata, telinga dan hatinya untuk mencari cahaya Allah Taala. Alangkah seksanya mengalami kebutaan bathin, meraba-raba dalam kegelisahan mencari bahagia walaupun harta dunia berada dibawah kakinya semua tidak bermakna tanpa cahaya Allah.

Dimanakah cahaya Allah itu boleh ditemui? Jawapannya berada pada surah Al-Nur ayat 36-38

“Iaitu dirumah-rumah yang diberi izin oleh Allah buat ditinggikan dan disebut nama-Nya. Iaitu rumah-rumah yang disucikan nama-Nya di dalamnya waktu pagi dan petang. Iaitu orang-orang lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli kerana mengingati Allah, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Dan mereka takut hari yang membuat bergegar hati dan pandangan mereka. Supaya Allah memberi ganjaran kepada mereka yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.”

Energi positif yang berasal dari cahaya Allah berada di rumah-rumahNya, tempat sujud dan berhimpunnya doa, insaf dan azam baru berinti mencintai-Nya. Meletakkan Allah pada tempat tertinggi di hati sehingga berguguran cebisan-cebisan bangkai dunia dari dindingnya, harta tidak mampu membeli kebahagiaan hanya Allah yang menitiskan rasa itu di hati kita. Kerana Allah anda bersemangat menjalani ujian duniawi, tiada rasa takut dan gentar kerana rasa takut itu disimpan untuk hari yang agung, tempat dibalas segala amal. Kerana yakin kepada janji-Nya anda tetap menyimpan energi positif itu menerangi lorong waktu yang gelap. Andalah lelaki yang disebut dalam ayat ini jika mahu mengambil cahaya Allah di mana saja anda boleh menemukannya. Tempat yang membawa anda berpindah dari kegelapan dosa dan maksiat menuju cahaya-Nya. Tempat yang disitu anda mendengar bisikan Allah Taala.

Sumber :- Drjuanda.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook
Powered by WordPress | Designed by: buy backlinks | Thanks to webdesign berlin, House Plans and voucher codes